Khamis, 6 September 2012

Kajian Tindakan ~ “JANGAN KELIRU”


SATU KAEDAH UNTUK MEMBIMBING PELAJAR TAHUN SATU 1 BERSIH  SK PENDERAS MEMBEZAKAN HURUF KECIL b DENGAN d
ROZAIDA BTE MAT KASSIM
Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau
28050 Temerloh, Pahang
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk menentukan dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelajar  Tahun 1 Bersih SK Penderas dalam membezakan huruf kecil b dengan d. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian bertulis dan lisan kepada pelajar semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hasil tinjauan ini menunjukkan terdapat  9 orang pelajar masih keliru untuk membezakan huruf kecil b dengan d. Guru telah mengambil tindakan bagi meningkatkan kebolehan pelajar  untuk membezakan kedua-dua huruf kecil ini. melalui program “Jangan Keliru”. Program ini mengambil masa selama 2 minggu dan setiap sesi mengambil masa 5 hingga 10 minit sahaja. Keputusan ujian pos menunjukkan  peningkatan penguasaan  murid dalam membezakan kedua-dua huruf ini.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Kemahiran membaca merupakan satu kemahiran bahasa yang paling penting kerana melaluinya seseorang itu boleh menerokai alam ilmu pengetahuan yang tidak dapat ditempuhinya melalui pengalaman biasa yang lain. Membaca adalah  satu proses yang bukannya mudah sebaliknya ia adalah gabungan beberapa proses yang kompleks ( Raminah Hj Sabran, 1987 )
Hasil kajian mendapati pengamatan murid terhadap bentuk-bentuk huruf mempunyai masalah. di mana mereka keliru mengenali huruf-huruf yang hampir sama bentuknya seperti huruf kecil b dan d. Perlu seseorang guru itu untuk menyusun strategi yang lebih berkesan untuk mengajar murid-murid membezakan huruf-huruf ini. Huruf-huruf kecil lain yang hampir sama bentuknya seperti n dan h, f dan t, y dan g juga sering mengelirukan kanak- kanak . Kanak-kanak masyarakat orang asli di sekolah ini juga menghadapi masalah tersebut. Tambahan pula mereka kurang didedahkan dengan bentuk-bentuk huruf di rumah. Kebanyakannya hanya dapat melihatnya di sekolah sahaja.
PERNYATAAN MASALAH
Membaca menggabungkan beberapa kemahiran, iaitu kemahiran pengamatan penglihatan yang diskriminatif ( untuk mengenal dan membezakan bentuk-bentuk huruf),  kemahiran mengingat, mendengar dan membezakan bunyi-bunyi yang tepat dan jelas, menyebut bunyi-bunyi yang dilambangkan oleh huruf-huruf, menggabungkan penyebutan bunyi-bunyi itu untuk membentuk perkataan dan kebolehan memindahkan lambang-lambang yang dibaca itu kepada sistem saraf otak untuk menterjemahkan dan memahami apa yang dibaca Raminah Hj Sabran, 1987).
Kemahiran mengenal huruf dan membezakan huruf amat penting untuk pelajar membezakan bunyi huruf .Kelemahan pelajar membezakan huruf akan turut mempengaruhi kebolehan membaca dan menulis . Kemahiran mengenali huruf merupakan titik mula kepada kemahiran membaca.
Di SK Penderas seramai 24 daripada 26 orang pelajar di kelas ini telah mengikuti kelas pra sekolah atau tadika tetapi saya dapati mereka masih belum menguasai kemahiran membaca.  Pelajar 1 Bersih seramai 25 orang  telah menjalani ujian KIA2M pada 7 April yang lalu. Manakala seorang lagi ponteng tegar. Hasil ujian didapati memang benar seramai  16 pelajar masih belum menguasai kemahiran membaca. 6 orang daripada 16 pelajar tersebut masih tidak kenali huruf  dan 10 orang yang lain pula masih keliru untuk mengenal huruf. Selebihnya iaitu 10 orang pelajar telah pun boleh menyebut perkataan kv kv.  Sejak  13 April 2009, murid-murid yang mengikuti kelas KIA2M  telah menjalani program  Deras Baca Penderas .
Pada 22 April 2009, sewaktu saya menjalankan latihan dalam menguji kebolehan murid mengenali  huruf yang dipelajari sebelum  ini , saya dapati seramai 9  daripad 24 orang murid menghadapi  masalah untuk membezakan huruf kecil b dengan d.
Rajah 1 : Hasil kerja salah seorang pelajar sebelum tindakan
Mungkin kerana pengalaman pertama mengajar tahun 1, saya kurang peka bahawa akan wujudnya kekeliruan antara kedua-dua huruf ini. Apabila saya melahirkan masalah ini kepada rakan-rakan, maklum balas yang saya terima  antaranya :
“ Masalah ini perkara biasa, pelajar tahun 3 dan 4 pun  ada yang masih keliru “
Saya terpanggil untuk mengubah keadaan ini lebih awal.   Saya memikirkan bagaimana cara untuk saya mengajar pelajar ini  bagi membolehkan mereka mengatasi kekeliruan itu.  Pada pendapat saya, kita perlu memberi pelajar satu pengalaman yang menarik untuk membentuk ingatan yang kekal.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan  kajian ini  adalah untuk memastikan 9 orang murid yang bermasalah itu dapat meningkatkan kebolehan pelajar membezakan huruf kecil b dengan d. Hasil kajian ini juga diharapkan dapat memastikan penambahbaikan amalan kendiri dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid.
SOALAN KAJIAN
Antara soalan berkaitan kajian ialah :
1) Adakah  murid-murid boleh membezakan huruf b dan  d dengan lebih mudah?
2) Adakah kaedah – kaedah pengajaran menarik minat dan memudahkan pelajar mengatasi masalah ?
METODOLOGI KAJIAN
Penyelidikan ini mengaplikasikan modul penyelidikan tindakan ( model Kemmis dan Taggart, 1992) seperti gambarajah di bawah
Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan 9 orang pelajar Tahun 1B yang terdiri daripada 8 lelaki dan 2 perempuan.
Instrumen Kajian
Data dikumpul dengan menggunakan 2 kaedah 
i)          Ujian pra dan ujian 
ii)         Pemerhatian
Analisa Kajian
1) Ujian pra dan ujian post dianalisis menggunakan dengan membandingkan bilangan jawapan  yang dijawab dengan betul dan salah sebelum dan selepas pelajar didedahkan kepada program .
2) Pemerhatian penglibatan murid dalam aktiviti
3) Hasil  lembaran kerja murid
TINJAUAN  AWAL
Tinjauan saya mulakan pada tarikh 27 April 2009 dengan memberi lembaran kerja yang mengandungi huruf b dan d.  Saya mengarahkan pelajar mewarnakan huruf b sahaja.  Saya hanya hendak memastikan pengetahuan sedia ada mereka.
Hasil kerja murid semasa tinjauan awal
Saya memberi latihan ini kepada semua pelajar kelas ini untuk mengetahui berapa orang pelajar yang  benar- benar keliru dengan kedua- dua huruf tersebut. Hasilnya sememangnya 9 orang pelajar tersebut menghadapi masalah itu.  Didapati mereka telah mewarnakan kedua- dua huruf.

Pada hari berikutnya, saya menjalankan pemerhatian terhadap penguasaan  pelajar dengan cara meminta mereka menunjukkan huruf kecil yang saya sebut dan menyebut huruf kecil yang ditunjukkan secara rawak.  Saya memastikan soalan huruf b dan d itu saya tujukan kepada pelajar-pelajar yang bermasalah di mana saya telah membuat catatan nama mereka. Aktiviti ini saya jalankan secara kelas.
Semasa pelajar lain membuat latihan , saya telah memanggil 9 pelajar tadi untuk diuji secara individu.  Pencapaian mereka saya rekodkan
B
Nama Murid
Menunjuk Huruf Kecil
a
b
c
d
e
f
1
Ahmad Zulia
/
X
/
/
/
/
2
Azahari
/
X
/
X
/
/
3
Azizan
/
X
/
X
/
/
4
Hasni
/
X
/
/
/
/
5
Helmi
/
X
/
X
/
/
6
Kamarul
/
/
/
X
/
/
7
Zainurin
/
X
/
X
/
/
8
Suraya
/
X
/
X
/
/
9
Nur Aliza
/
/
/
X
/
/
PERANCANGAN TINDAKAN
Berdasarkan tinjauan awal, didapati murid- murid perlu didedahkan dengan perbezaan bentuk dan sebutan huruf dengan lebih tersusun. Aktiviti-aktiviti dirancang dengan mengaitkan persekitaran murid-murid juga boleh dijadikan bahan untuk menjelaskan perbezaan huruf-huruf.
PELAKSANAAN TINDAKAN
Bagi meningkatkan kebolehan pelajar  mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti, saya telah merangka program yang dilaksanakan selama 2 minggu yang hanya mengambil masa selama 5 hingga 10 minit sebelum pengajaran  sebagai set induksi.  Aktiviti ini dilaksanakan oleh semua murid. Saya mengambil langkah tersebut supaya pelajar yang telah menguasai kemahiran dapat membuat pengukuhan dan yang tidak menguasai pula menerimanya sebagai pemulihan.  Saya telah menyediakan satu catatan pemerhatian untuk murid-murid yang bermasalah
Langkah 1 ( 4 Mei 2009)
i) Murid dikenal semula dengan huruf b dan d
ii) Murid dibimbing menggunakan anggota badan mereka sebagai lambang huruf  b dan d.  Tangan kanan digunakan membuat  pergerakan bentuk bulatan ke kanan sambil menyebut b. Tangan kiri  membuat gerakan bentuk bulatan ke kiri sambil menyebut d. Langkah dilaksanakan dengan mengikut gerakan guru yang membelakang murid.  Sambil menyanyi
            “ Gerakkan tangan kanan , gerakkan tangan kiri
               Buat bulatan b,   buat bulatan d
               Gerakan kaki kanan, gerakan kaki kiri
               Buat bulatan b, buat bulatan d.
iii) Murid diberi penerangan bahawa b mempunyai tiang dan bulatan ke kanan manakala d mempunyai tiang dan bulatan ke kiri mereka.
iv) Guru melukiskan kaki  dan menerangkan huruf b dan d seperti lukisan orang berdiri.
 4 : Contoh lukisan guru

Langkah 2 ( 5 Mei 2009 )
i) Murid dikehendaki angkat  tangan kanan yang dinamakan tangan b dan tangan kiri pula sebagai tangan d.
ii) Murid dikehendaki meletakkan tangan b atau d  ke tempat yang disebut guru ~ Letakkan tangan b ke atas hidung.
Langkah 3 ( 6 Mei 2009 )
i) Murid dikehendaki menyanyi lagu pada langkah 1 dan dibekalkan dengan 1 huruf.
ii) Murid yang memegang huruf b atau d diminta berdiri sambil menunjuk huruf.
iii) Murid yang memegang huruf b ke hadapan kelas dan huruf d ke belakang kelas.
Langkah 4 ( 8 Mei 2009 )
i) Menyanyi gerakan diulang
ii) 12 orang murid dibekalkan dengan huruf b dan 12 orang murid dengan huruf d.
iii) Mereka dikehendaki berkumpul secara berpasangan b dan d.
Langkah 5 ( 11 Mei 2009 )
i) Murid mengulangi nyanyian di langkah 1.
ii) Pelajar diminta mencari berapa huruf b  atau d yang dilekatkan pada papan tulis
Langkah 6 ( 12 Mei 2009 )
i)  Murid diberikan lembaran kerja memadankan huruf besar dan secara rawak  ( lampiran 1 )
Langkah 7 ( 13 Mei 2009 )
i) Murid  diberi lembaran kerja  mencari dan membulatkan huruf  b ( lampiran 2 )
Langkah 8 ( 14 Mei 2009 )
i) Murid diberi lembaran kerja mencari dan membulatkan huruf d ( lampiran  3 )
Sepanjang langkah-langkah ini dijalankan saya dapati, 9 pelajar tadi telah dapat membezakan huruf b dengan d.  Ketika membuat latihan di lembaran kerja, saya dapat melihat mereka membuat gerakan tangan seperti dalam nyanyi untuk mereka memastikan samada huruf itu b atau d. Saya berharap aktiviti ini dapat memberi pengalaman yang boleh diingati oleh pelajar.

 Rajah 6 : Kad huruf yang digunakan semasa aktiviti dijalankan


REFLEKSI
Sepanjang menjalankan program ini, saya menyedari hakikat bahawa murid-murid berbeza daripada segi keupayaan memahami bahan-bahan bertulis, keupayaan mendengar dan bertutur. Jadi dalam menyampaikan isi pelajaran, saya harus memikirkan keadaan ini agar mereka dapat diberi perhatian yang berlainan dan sesuai dengan kemampuan mereka.

Di dalam pengajaran menguasai kemahiran membaca, tidak ada kaedah yang paling  baik dan berkesan untuk semua keadaan dalam semua aspek pengajaran. Saya sedari  perlunya untuk memilih kaedah yang sesuai dengan kehendak dan keadaan murid-murid.  Teknik  pengajaran amat  mempengaruhi perkembangan murid-murid. Teknik yang menarik dapat menghidupkan suasana  pengajaran yang boleh memberi pengalaman  yang lama kekal dalam ingatan.
Saya berusaha menjalankan aktiviti mengenal b dan d itu berulang supaya ianya menjadi ingatan kepada pelajar.  Tempoh masa menjalankan  aktiviti itu tidak lama di mana saya jadikannya sebagai set  induksi kepada  pengajaran saya selama hampir 2 minggu ini tidak membosankan pelajar. Malahan, saya dapat  melihat perubahan ketara di mana pelajar ini boleh memahami dengan cepat.  Bahan yang saya gunakan juga adalah bahan yang sedia ada sebelum ini tanpa perlu membuat bahan bantu mengajar tambahan.
Selain itu,  saya dapati bahawa pemulihan yang perlu saya jalankan kepada pelajar tidak  memerlukan satu sesi pengajaran tambahan. Hanya boleh diselit-selitkan dalam langkah- langkah pengajaran yang saya rancangkan. Dalam satu masa saya dapat menjalankan pemulihan dan meneruskan pengajaran  seperti biasa. Saya yakin kaedah atau langkah- langkah penyelesaian masalah saya ini lebih ringkas,  mudah  dan menarik.
CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KAJIAN
Dapatan kajian dan kesan daripada program ini menunjukkan  perubahan kepada penguasaan kemahiran pelajar membezakan kedua-dua huruf ini.  Mereka sudah menyebut dan menunjukkan huruf itu dengan lebih tepat.  Walaupun terdapat pelajar  yang perlu berfikir sejenak sambil membuat gerakan nyanyian terlebih dahulu untuk memastikan sama ada  huruf itu b atau d  tetapi pada pendapat saya mereka akan menguasainya lebih cepat pada masa akan datang.
Pada pengajaran akan datang, saya perlu melaksanakan langkah-langkah pengajaran ini semasa mula-mula memperkenalkan huruf- huruf  a hingga d. Semoga hasil kajian dapat memberi manfaat kepada semua rakan-rakan setugas.

BIBLIOGRAFI
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran  Malaysia  (2006).  Manual Kajian Tindakan.  Kuala Lumpur : BPPDP, KPM.
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (2006).  Kertas Kerja Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan ke-XIII 2006 . Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran  Malaysia
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan ( 1999). Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan 1999, Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran  Malaysia
Bahagian Pendidikan Guru  (2001). Garis Panduan Penyelidikan Tindakan Maktab Perguruan Malaysia. Kuala Lumpur : Kementerian Pelajaran  Malaysia
Raminah Hj Sabran.  ( 1987 ) . Kaedah Pengajaran Bahasa MelayuKuala Lumpur. (t.p)
Sabariah bt Abu Bakar ( 2002 ). Jurnal Kajian Tindakan Tahun 2002. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran  Malaysia

Lampiran 1
Jadual Perbandingan Pencapaian Ujian Pra dan Ujian Pos
B
Nama Murid
Ujian Pra
Ujian Pos
Bilangan Betul
Bilangan Betul
1
Ahmad Zulia
11
25
2
Azahari
16
25
3
Azizan
13
25
4
Hasni
16
25
5
Helmi
14
25
6
Kamarul
16
25
7
Zainurin
13
25
8
Suraya
15
25
9
Nur Aliza
16
25

 Lampiran 2
 Hasil Lembaran 1 Murid Selepas Kajian

Lampiran 3
Hasil Lembaran 2 Murid Selepas Kajian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan