Khamis, 6 September 2012

MENGENAL NOMBOR BERDASARKAN GAMBAR OBJEK BAGI TAHUN 1


Hanim Binti Jamaludin
Sekolah Kebangsaan FELDA Rentam,
28300 Triang, Pahang.
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk memudahkan murid mengingat dan menulis  bentuk nombor satu hingga sembilan berdasarkan objek. Kajian ini dilakukan terhadap dua orang murid Tahun Satu Arif, Sekolah Kebangsaan Felda Rentam iaitu Afiq dan Najehah. Dapatan kajian menunjukkan Afiq dan Najehah dapat menulis dengan tepat nombor yang disebut, juga mengingat objek-objek yang dikaitkan. Oleh itu, saya syorkan kaedah ini digunakan bagi membantu murid yang tidak mengenal nombor.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Sekolah saya merupakan sekolah kategori sekolah luar bandar. Sekolah ini terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar Bera. Majoriti ibubapa atau penjaga terdiri daripada peneroka. Bilangan murid pada tahun ini menurun daripada 275 pada Tahun 2008 kepada 254 pada tahun 2009. Penurunan bilangan murid ini berlaku kerana ramai ramai diantara generasi muda anak-anak peneroka berhijrah ke bandar. Walaupun begitu, bilangan murid Tahun 1 meningkat daripada 26 orang (2008) kepada 35 orang (2009).
Saya bertuah kerana majoriti murid Tahun 1 pernah menghadiri kelas Pra Sekolah ataupun Tadika. Jadi mereka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kawan-kawan.
Saya diberi tugas mengajar Matematik Tahun 1 dan 2 bermula pada tahun ini. Pada tahun lepas saya mengajar Matematik Tahun 3 dan 4 (Tahap 2). Pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid Tahun Satu di setiap sekolah merupakan perkara yang penting. Ini kerana pada tahap permulaan subjek Matematik,  guru-guru berperanan penting untuk memperkenalkan murid –murid kepada  nombor. Sesetengah murid mungkin mereka menghafal nombor dengan sebutan atau percakapan sahaja tetapi gagal untuk menulis dengan betul. Ada yang menulis dengan terbalik, ada yang tidak dapat menulis dengan lengkap dan sebagainya. 
PERNYATAAN MASALAH 
Berdasarkan buku latihan Matematik Jilid Satu Tahun Satu, latihan mengenal dan menulis nombor adalah sangat ringkas. Murid-murid hanya perlu menyambung titik untuk dijadikan nombor. Mereka hanya akan dapat menulis dengan baik apabila melihat buku. Masalah yang timbul apabila murid tidak dapat menulis dengan baik tanpa buku. Oleh itu saya telah membuat kajian untuk mengenalpasti cara terbaik untuk murid mengingat nombor. Saya mendapati Afiq dan Najihah tidak dapat menulis nombor dengan betul. Afiq pernah menghadiri kelas Pra Sekolah tetapi Najihah langsung tidak pernah menghadiri mana-mana kelas Pra sekolah atau Tadika. Jadi saya perlu memberikan pengajaran yang khusus untuk mereka. Saya perlu memberi tumpuan lebih kepada Afiq dan Najihah kerana menulis nombor adalah perkara asas dalambelajar Matematik.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk membantu murid membentuk nombor dengan mudah berdasarkan objek.
OBJEKTIF  KAJIAN
Objektif  kajian yang saya akan lakukan adalah bertujuan untuk membantu murid agar:
1) Mudah mengingat bentuk nombor melalui objek yang ditunjuk.
2) Menulis nombor 1 hingga 9 dengan betul.
3) Merasa seronok untuk belajar dengan melihat objek-objek yang menarik.
4) Menjawab soalan ujian dengan betul.
SOALAN KAJIAN
Antara soalan kajian ialah :
1) Adakah objek yang saya gunakan sesuai untuk nombor berkenaan untuk murid ingat?Mampukah murid saya untuk menulis dengan betul nombor1 hingga 9?
2) Adakah cara yang saya gunakan dapat menarik minat murid untuk belajar Matematik?
3) Adakah murid dapat menjawab ujian dengan betul dan tepat?
KESIGNIFIKAN KAJIAN
  • Dengan menunjukkan gambar objek yang seakan-akan menyerupai nombor 1 hingga 9 akan memudahkan murid mengingati bentuk nombor tersebut.
  • Memudahkan murid untuk menulis dengan betul bentuk nombor 1 hingga 9.
METODOLOGI KAJIAN 
Reka Bentuk Penyelidikan
Penyelidikan ini mengaplikasikan model penyelidikan tindakan (model Kemmis dan Taggart, 1992) seperti gambarajah berikut :
Sasaran Kajian
Kumpulan sasaran terdiri daripada 2 orang murid Tahun 1 Arif, Sekolah Kebangsaan FELDA Rentam, Triang, Pahang.
Batasan Kajian
Kajian ini terhad kepada murid yang langsung tidak mengenal nombor sahaja.
Instrumen Kajian
Data dikumpul dengan menggunakan 2 kaedah iaitu :
i.                 Ujian pra dan ujan pasca
ii.                Soal jawab secara lisan.
Analisis Kajian
i. Ujian pra dan ujian post dianalis dengan melihat murid dapat membentuk nombor dengan betul.
ii. Soal jawab secara lisan dimana guru bertanya kepada murid bentuk nombor 1 hingga 9 secara rawak.
TINJAUAN AWAL
Saya telah membuat tinjauan awal masalah murid melalui
i. Latarbelakang murid.
ii. Mengadakan ujian pra.
Latarbelakang murid
Saya mendapati 5 daripada 35 orang murid Tahun 1 tidak pernah menghadiri mana-mana kelas Pra Sekolah atau Tadika. Selain daripada itu, walaupun ramai diantara mereka pernah mendapat pendidikan awal secara formal, tetapi masih terdapat murid yang lemah dalam mengenal nombor.
Analisis Ujian Pra
Ujian Pra dilakukan bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan gambaran pencapaian dan kebolehan murid untuk menulis nombor 1 hingga 9. Saya telah membuat satu ujian secara tidak langsung untuk mengetahui tahap asas pengetahuan murid pada nombor. Saya langsung tidak menunjuk dan mengajar mereka cara untuk menulis.Saya ingin mereka mengingat apa yang telah mereka belajar sebelum ini. Kemudian saya semak apa yang mereka tulis.Keputusan ujian pra adalah seperti berikut :

Pencapaian
Bilangan murid
Menulis dengan tepat dan betul nombor 1 hingga 9
33 orang
Tidak boleh menulis dengan tepat dan betul nombor 1 hingga 9
2 orang
(Afiq dan Najehah)
Hasil daripada ujian pra tersebut, saya mendapati bahawa 2 oarang pelajar saya gagal untuk menulis nombor 1 hingga 9 dengan tepat.Mereka tidak mempunyai pengetahuan asas  dan tidak mengingati nombor. Terdapat 2 kertas ujian yang menunjukkan mereka tidak dapat menulis nombor dengan betul.
Kertas ujian Najehah (sebelum kajian)
Kertas ujian Afiq (sebelum kajian )
PERANCANGAN TINDAKAN
Saya merancang untuk memanggil Afiq dan Najihah dibelakang kelas pada minit terakhir P&P Matematik Tahun 1. Saya akan menggunakan powerpoint sebagai alat bantu mengajar untuk mereka berdua sahaja.

PELAKSANAAN TINDAKAN
Pelaksaan tindakan adalah seperti berikut : 
a) Mendapatkan gambar- gambar objek yang sesuai dengan bentuk nombor.

Gambar objek
Nombor
Pensil
1
Telinga
2
Dua jari
3
Kerusi Terbalik
4
Dacing / Mata kail
5
Wisel
6
Cangkul
7
2 biji bola
8
Payung
9

b) Guru menyediakan powerpoint berkaitan iaitu perbandingan objek dengan bentuk nombor. (Lampiran).
c) Guru menayangkan powerpoint kepada murid dan menerangkan kepada murid kaitan objek dengan bentuk nombor. Guru memperkenalkan nombor 1 hingga 9 dalam 3 peringkat  (Peringkat 1 : nombor 1,2 dan 3) (Peringkat 2 : nombor 4, 5 dan 6) (Peringkat 3 : nombor 7, 8 dan 9) berasingan kerana murid-murid Tahun Satu mempunyai daya ingatan yang agak perlahan.
d) Kemudian guru menguji murid dengan menyebut objek yang menyerupai dan murid menulis nombor. Seterusnya guru juga menyebut nombor dan murid menulis nombor (Ujian Pasca).
e) Guru juga bertanya secara lisan kepada murid. Murid menyebut nombor atau objek yang berkaitan.
f) Akhirnya guru mendapati murid mudah untuk menulis nombor dengan tepat.
PENGUMPULAN DATA
Data dikumpul menggunakan 2 kaedah iaitu :
i) Menjalankan ujian pra dan ujian pasca untuk mengenalpasti tahap pengetahuan asas murid untuk menulis nombor 1 hingga 9.
ii) Guru bertanya kepada murid secara lisan objek berkaitan dengan nombor.
ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA
Analisis ujian pasca
Hasil kerja Najehah (Selepas tindakan)

Hasil kerja Afiq (Selepas tindakan)
Ini menunjukan bahawa Afiq dapat menulis nombor dengan betul. Di bahagian atas kertas ini menunjukkan dimana guru menyebut nombor dan murid menulis nombor dengan mengingat bentuk. Arahan daripada guru adalah seperti berikut :
Guru : Afiq, tuliskan nombor lima, tiga, satu, empat, lapan, tujuh dan sembilan. 
Kemudian, afiq mengingat bentuk nombor berdasarkan obek yang telah ditunjukkan oleh guru sebelumnya. Akhir sekali, guru menguji sekali lagi dengan menyuruh Afiq menuls nombor satu hingga 9 seperti dalam gambar di atas.
Selepas Afiq, guru menguji Najehah untuk menulis nombor 1 hingga 9. Arahan guru kepada Najehah adalah seperti berikut :
Guru : Najehah, tuliskan nombor tujuh, lapan, empat, satu, dua , lima dan sembilan.

Analisis soal jawab secara lisan

Guru : Afiq, bentuk nombor empat menyerupai objek apa?
Afiq   : Kerusi
Guru : Bentuk payung?
Afiq   : Nombor 9
Guru : Bentuk pensil sama dengan nombor berapa?
Afiq   : Satu.

Soal jawab bersama Najehah
Guru                :           Najehah, bentuk nombor tujuh menyerupai objek apa?
Najehah           :           Cangkul
Guru                :           Bentuk telinga?
Najehah           :           Nombor 2
Guru                :           Bentuk dua bola sama dengan nombor berapa?
Najehah           :           Lapan.


Berdasarkan soal jawab bersama Afiq dan Najehah tersebut menunjukkan bahawa mereka berdua  dapat mengingat dengan baik dan tepat bentuk-bentuk nombor 1 hingga 9.


Interpretasi Data

Hasil daripada ujian Pra dan ujian Pasca menunjukka perbezaan yang ketara. Pada permulaannya Afiq dan Najehah tidak mampu untuk menulis nombor dengan betul. Mereka tidak dapat membayangkan nombor-nombor yang perlu ditulis. Hanya beberapa nombor sahaja yang ditulis oleh mereka.
Setelah guru memperkenalkan teknik yang lebih mudah dengan mengaitkan objek dengan nombor, mereka dapat menulis dan mengingati bentuk nombor dengan baik.
Kini, semua murid Tahun Satu Arif dapat menulis dan mengingat bentuk nombor dengan baik.
REFLEKSI 
Sepanjang kajian ini dijalankan, terdapat pelbagai masalah dan kelemahan yang terpaksa ditangani, diantaranya ialah kekangan masa semasa P&P untuk menumpukan perhatian kepada Afiq dan Najehah. Afiq dan Najehah diletakkan dalam kumpulan yang berbeza. Jadi mereka berdua perlu mengikut tahap rakan-rakan lain yang sama kumpulan dengan mereka. Selain daripada itu, Afiq selalu tidak hadir ke sekolah. Jadi apabila saya ingin membuat Ujian Pasca terpaksa ditangguhkan. Penyediaan bahan powerpoint juga makan masa untuk saya mencari gambar-gambar berkaitan. Gambaran objek perlu difikirkan kesuaiannya dengan nombor juga pemahaman murid dengan gamba tersebut.
Adalah diharap agar dengan cara yang diperkenalkan ini memudahkan murid-murid untuk mengenal nombor samada murid-murid Tahun 1 Arif ataupun dapat diguna pakai oleh bagi tujuan P&P Pra Sekolah.
PENUTUP
Kesimpulannya, dengan penyelidikan yang saya telah lakukan ini dapat membantu Afiq dan Najehah, murid Tahun Satu Arif, Sekolah Kebangsaan Felda Rentam, Triang dapat  menulis dengan bentuk yang betul nombor 1 hingga 9 berdasarkan ingatan terhadap objek-objek berkaitan. Akhirnya diharapkan teknik yang saya perkenalkan ini dapat dipraktikkan bagi murid bermasalah mengenal nombor.
BIBLIOGRAFI
Leinhardt, G., & Smith, D. A. (1985). Expertise in mathematics instuction: Subject matter knowledge. Journal of Educational Psychology, 77, hlm. 241-271.
Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. San Francisco: Jossey-Bass Publishers.
Amir Awang. ( 1986 ). Teori-teori Pembelajaran.Shah Alam: Fajar Bakti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan