ZUNARIAH
MAHAMAD, PhD
JAAFAR
SULAIMAN
SABRI
AWANG SOF
Jabatan Matematik, IPG Kampus Kota Bharu
Abstrak
Kajian ini
merupakan projek kolaborasi dengan guru Matematik sekolah Orang Asli di
negeri Kelantan. Tujuan utama kajian adalah untuk menerokai cara pengajaran
yang sepadan dengan keperluan pembelajaran murid Orang Asli dan memupuk
suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Objektif kajian ini secara khususnya
adalah: (a) meningkatkan konsep
penolakan murid-murid peribumi melalui pembelajaran aktif dan (b)
memotivasikan murid peribumi mempelajari matematik melalui pembelajaran
aktif. Kelas Tahun 3 menjadi sasaran dalam kajian ini melibatkan enam orang
murid. Pengajaran guru menggunakan bahan manipulatif iaitu Blok Dienes, Carta
Nilai Tempat dan Straw yang dikendalikan sendiri oleh murid secara
berpasangan. Dapatan kajian diperolehi melalui pemerhatian dan rakaman video tingkah
laku murid semasa aktiviti berlangsung. Dapatan menunjukkan keselesaan murid
berinteraksi sesama sendiri, membantu pasangannya dan bertindakbalas jika
rakan membuat kesilapan. Walaupun hanya empat murid sahaja dapat
menyempurnakan latihan dengan lengkap tetapi kesungguhan mereka menyiapkan
latihan menunjukkan bahawa pembelajaran aktif yang dilaksanakan mampu
meningkatkan konsep penolakan dan meransang minat mereka untuk belajar. Kajian
ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa murid lebih seronok belajar
tanpa terlalu banyak arahan guru kerana murid peribumi ini mendengar arahan tetapi sukar untuk mengikut
peraturan. Kepelbagaian kaedah pengajaran perlu difikirkan bagi mewujudkan
pembelajaran yang bermakna kepada murid Orang Asli ini.
|
Pengenalan
Peningkatan kualiti pendidikan kaum peribumi merupakan
keprihatinan kebangsaan yang sentiasa ditekankan oleh semua lapisan masyarakat
pendidik di Malaysia. Secara umum,
masyarakat peribumi Malaysia mempunyai pelbagai budaya unik yang masih kurang
difahami oleh masyarakat bukan peribumi.
Justeru itu, usaha gigih daripada kaum pendidik sangat diperlukan untuk
mengkaji keperluan pembelajaran murid-murid Orang Asli secara mendalam. Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah
murid-murid peribumi juga mempunyai keperluan pembelajaran yang pelbagai. Kepelbagaian keperluan ini perlu diambil kira
untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid peribumi
ini
Latar
belakang Kajian
Kajian ini merupakan kolaborasi antara pensyarah Matematik
Institut Perguruan Kampus Kota Bharu dengan guru Matematik sekolah orang asli
di hulu Kelantan. Sekolah ini terletak sejauh 130 km daripada Bandar Kota Bharu
dan terdapat duabelas orang guru serta tujuh kakitangan di bawah kepimpinan
seorang guru besar yang telah berpengalaman berkhidmat selama sepuluh tahun di
sekolah tersebut. Terdapat enam kelas
terdiri dari tahun satu hingga enam. Setiap kelas mengandungi 11 sehingga 26
orang murid merangkumi 129 murid
kesemuanya. Murid-murid orang asli di sekolah ini terdiri daripada suku kaum
Jahai yang mendiami tiga buah kampung dipersekitaran sekolah. Seramai 119 orang
murid ditempatkan di asrama bersebelahan dengan sekolah manakala 20 yang lain
diangkut ke sekolah dengan kenderaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dari
rumah masing-masing setiap hari. Walaupun demikian, kehadiran mereka adalah
sekitar 50 peratus sahaja disebabkan rumah keluarga mereka berdekatan dengan
sekolah.
Tujuan
Kajian
Tujuan utama kajian ini adalah untuk menerokai kaedah
pengajaran dan pembelajaran Matematik yang sepadan dengan keperluan
pembelajaran murid-murid Orang Asli dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
dapat memupuk suasana pembelajaran yang menyeronokkan untuk murid-murid Orang
Asli. Secara khususnya objektif kajian adalah,
·
Meningkatkan
konsep penolakan murid-murid peribumi melalui pembelajaran aktif
·
Memotivasikan
murid-murid peribumi mempelajari matematik melalui pembelajaran aktif
Manakala persoalan kajian pula adalah,
·
Adakah
konsep penolakan murid-murid peribumi meningkat melalui pembelajaran aktif?
·
Adakah
motivasi murid-murid peribumi mempelajari matematik meningkat melalui
pembelajaran aktif?
Kepentingan Kajian
Usaha perlu dilakukan bagi memastikan murid-murid
peribumi tidak ketinggalan dalam Negara mengejar arus perdana. Berdasarkan
kepada pencapaian murid-murid di sekolah ini yang agak ketinggalan iaitu tidak
ada murid yang lulus kesemua lima subjek dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR), mereka cuma lulus sebahagian subjek sahaja. (Nota perbincangan dengan
Penolong Kanan 1, 28 Februari 2011). Keadaan
ini merupakan cabaran besar kepada para guru di sekolah bagi meningkatkan
pencapaian kelulusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah amnya dan
pencapaian murid peribumi khususnya.
Fokus Kajian
Pendekatan utama dalam pelaksanaan penyelidikan ini
ialah permuafakatan di antara guru-guru Matematik sekolah tersebut dan
pensyarah-pensyarah Matematik Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Perjumpaan
pertama dengan Gurubesar dan warga sekolah diadakan pada 28 Februari 2011
(Isnin), seterusnya diikuti pengajaran secara kolaborasi bersama guru Matematik
setiap bulan bermula April hingga Julai 2011. Sebanyak tiga siri perbincangan
profesional dilaksanakan pensyarah di sekolah dan satu perbincangan profesional
oleh guru-guru Matematik di kampus IPG. Dalam setiap perbincangan, secara
berkolaborasi, para pensyarah dan guru akan (a) merancang pelajaran bersama;
(b) melaksanakan pengajaran bilik darjah secara berpasukan; (c) mendokumentasi
kesan-kesan pengajaran; (d) menilai keberkesanan pengajaran yang dilaksanakan;
dan (e) mencadangkan tindakan susulan untuk penambahbaikan pengajaran
seterusnya. Perbincangan pertama di antara guru Penolong Kanan dan guru-guru
Matematik telah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid peribumi ini.
Hasil pemerhatian semasa pengajaran dan pembelajaran Matematik juga membantu
pasukan kajian melihat masalah murid peribumi secara jelas. Pasukan kajian
mendapati murid peribumi masih lagi sukar untuk menyelesaikan soalan penambahan
nombor bulat dengan mengumpul semula walaupun mereka berada di Tahun Empat
(Rekod Video1, 28 Februari 2011).
Lawatan ke kelas Tahun Tiga pula mendapati, mereka masih tidak mengenal
nombor (2 orang), tidak dapat membilang mengikut urutan (4 orang) dan tidak
dapat mengenal aplikasi operasi (5 orang). (Nota pemerhatian Zunariah,28
Februari 2011). Perbincangan mendalam dengan empat orang guru Matematik yang
dijemput ke Kampus IPG Kota Bharu pada 20 April 2011 mengenalpasti beberapa
aspek yang perlu difokuskan dalam pengajaran dan pembelajaran murid peribumi
ini. Di antaranya, (a) mengenalpasti matlamat pengajaran guru, (b) merancang
aktiviti pengajaran, (c) menyediakan bahan pengajaran, (d) melaksanakan
pengajaran dan tindakan, (e) membuat pemerhatian kesan tindakan dan (f) menilai
kesan tindakan ke atas pembelajaran murid.
Pasukan
Pengajaran
Kajian ini melibatkan tiga orang pensyarah yang
berpengalaman selama 16 tahun, 24 tahun dan 34 tahun dari Jabatan Matematik dan
seorang guru yang berpengalaman selama 10 tahun mengajar Matematik Tahun Tiga
di sekolah tersebut.
Tajuk
Pengajaran dan Pembelajaran
Semasa lawatan profesional kedua pada bulan Mei 2011,
guru memberikan pengajaran tajuk penambahan tanpa mengumpul semula. Menurut
pengalaman guru tersebut, masalah utama tajuk ini bagi murid orang asli ialah
menentukan nilai tempat berdasarkan nombor yang diberikan,
Contoh : Susun
nombor tiga digit mengikut nilai tempat:
321
Rajah 1 Tiang Nilai Tempat dan Manik
|
Pemerhatian/
Aktiviti Murid
Murid meletakkan manik ke dalam tiang berdasarkan
arahan guru dan bergantung sepenuhnya kepada arahan guru. Murid dilatih untuk
menunjukkan jawapan yang tepat tanpa diberi peluang berfikir manakala guru
tidak menunjukcara bagaimana dan mengapa manik perlu berada di tiang-tiang
pertama, kedua dan ketiga. (Nota dari pemerhatian Zunariah, 15 Mei 2011).
Kesukaran juga dialami oleh murid untuk mendengar arahan guru yang berbentuk
lisan, guru perlu mengulang arahan berkali-kali semasa menyuruh murid
memasukkan manik ke tiang-tiang berkenaan. (Nota pemerhatian Jaafar, 15 Mei
2011). Berdasarkan pemerhatian pasukan pensyarah dan perbincangan dengan guru
terbabit dicadangkan guru menggunakan Blok Dienes dan Carta Nilai Tempat pada
pengajaran seterusnya.
Langkah
Mengatasi
Pengajaran guru menggunakan carta nilai tempat bermula
dengan guru menyuruh murid memasukkan nombor yang terlibat ke atas carta dan
membaca nilainya. Contohnya,
Ra
|
Pu
|
Sa
|
00
|
0
|
-
|
2
|
3
|
5
|
200
|
30
|
5
|
Dua ratus
|
Tiga puluh
|
Lima
|
Rajah 2 Carta Nilai Tempat
Hasil pemerhatian, didapati murid telah dapat menyebut
nombor dengan nilai yang betul sepertimana yang diletakkan dalam carta nilai
tempat. Selepas masalah ini diatasi, kemahiran seterusnya adalah penolakan tanpa mengumpul semula dan dengan
mengumpul semula. Pengajaran untuk tajuk ini melibatkan pasukan pensyarah dan
guru bagi mengenalpasti kefahaman konsep penolakan diperolehi oleh murid-murid
peribumi.
Cabaran Pelaksanaan Tindakan
Lawatan pertama ke sekolah kajian, pasukan pensyarah diberi
taklimat tentang latar belakang suku kaum Jahai. Suku kaum ini sukar menerima perubahan, suka
menggunakan bahasa mereka sendiri, berpuak-puak, malas bekerja. Manakala kehadiran
murid ke sekolah pula secara ‘berombak’ (kehadiran tidak menentu) menyebabkan
ingatan sukar untuk kekal lama. (Nota perbincangan dengan Penolong Kanan 1, 28
Februari 2011). Seterusnya menurut maklumat yang disampaikan oleh guru yang
mengajar Tahun Tiga pula adalah, murid kurang memahami tujuan ke sekolah,
kecenderungan bermain, penggunaan bahan maujud hanya kekal pada satu hari
sahaja kerana apabila digunakan seterusnya, guru perlu mengulang kembali
aktiviti yang telah dibuat hari sebelumnya. (Nota perbincangan guru Matematik
Tahun 3, 20 April 2011).
Pada
lawatan kedua ke sekolah, pasukan pensyarah telah membawa Blok Dienes dan Carta
Nilai Tempat untuk digunakan dalam pengajaran penolakan nombor bulat tanpa dan
dengan mengumpul semula. Pada awal pengajaran, guru menunjukkan secara
demonstrasi penggunaan Blok Dienes dan Carta Nilai Tempat. Penerangan guru
tentang nilai tempat kepada murid-murid kurang mendapat perhatian mereka, hanya
seorang dua yang menjawab pertanyaan guru dan yang lain hanya memerhati serta
berbual sesama sendiri (Rekod Video2, 15 Mei 2011). Langkah seterusnya, murid
dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri dari dua dan tiga murid setiap
kumpulan. Setiap kumpulan diberikan sekotak Blok Dienes dan satu Carta Nilai
Tempat. Guru memberi arahan di mana setiap kumpulan perlu meletakkan Blok
Dienes ke dalam Carta Nilai Tempat semasa proses membuat penolakan, murid mendengar arahan tetapi kurang mengikut
peraturan yang diterangkan oleh guru. (Rekod
Video3, 15 Mei 2011). Pemerhatian pasukan pensyarah mendapati hanya enam
(6) murid sahaja yang menunjukkan sikap positif untuk belajar, manakala yang
lain masih bersikap pasif tanpa menghiraukan aktiviti yang dibuat oleh
rakan-rakan mereka. Keenam-enam murid ini dikenalpasti sebagai kumpulan sasaran
untuk pengajaran dan pembelajaran selanjutnya.
Pelaksanaan
Tindakan dan Kesannya
Selepas melihat situasi pengajaran dan pembelajaran
yang sukar diikuti oleh murid, perbincangan dijalankan antara pasukan pensyarah
dengan guru terbabit. Pengubahsuaian pelaksanaan pengajaran secara professional
dirancang di mana pembelajaran aktif diterapkan dalam pembelajaran murid. Pembelajaran aktif merujuk kepada teknik di
mana murid melakukan lebih daripada sekadar mendengar dan memerhati. Murid MELAKUKAN
sesuatu termasuk penemuan,
pemprosesan, dan menggunakan maklumat.
Pembelajaran aktif "berasal dari dua andaian
asas: (i) pembelajaran
secara semula jadi berusaha aktif dan (ii) bahawa orang yang berlainan belajar dalam cara yang berbeza" (Meyers dan Jones,
2003).
Langkah Pertama
Pada 16 Mei 2011, pengajaran dan pembelajaran
dimulakan dengan pembahagian Carta Nilai Tempat dan Blok Dienes kepada kumpulan
murid yang terdiri daripada dua dan tiga orang. Seterusnya pensyarah dan guru
mengedarkan soalan dalam bentuk lembaran kerja kepada seorang murid setiap
kumpulan. Mereka dikehendaki melengkapkan jawapan dalam lembaran kerja dengan
menggunakan Blok Dienes dan Carta Nilai Tempat bagi membuat pengiraan. Guru
menunjukkan demonstrasi kepada setiap kumpulan bagaimana penolakan nombor bulat
tanpa mengumpul semula dapat dilakukan.
Contohnya,
Secara berpasangan, murid melakukan aktiviti di mana
mereka perlu mencari Blok Dienes yang sesuai dengan nilai nombor dalam soalan
dan membilang Blok Dienes yang perlu dibuang dan seterusnya mencatatkan nilai
yang tinggal. Aktiviti ini dibuat berulang kali sehingga selesai lembaran kerja
yang mengandungi lapan soalan. Daripada enam orang murid yang diperhatikan,
hanya empat orang murid sahaja yang betul-betul berusaha melaksanakan aktiviti
ini secara bersungguh-sungguh. (Nota pemerhatian Zunariah, 15 Mei 2011).
Kesan daripada aktiviti kepada pengajaran guru
adalah, aktiviti murid sesama mereka lebih digemari berbanding dibuat bersama
guru. Murid lebih gembira bercakap sesama mereka dengan loghat suku kaum mereka
sambil melakukan aktiviti. Walaupun mereka mengambil masa yang lama, tetapi
mereka dapat menunjukkan jawapan yang tepat apabila diminta oleh guru (Nota
pemerhatian Zunariah, 16 Mei 2011). Kajian
ini menunjukkan
pembelajaran menjadi lebih berkesan
apabila murid melibatkan
diri dalam pembelajaran aktif. Walaupun masih ada
di antara murid yang bermain dan bergurau tetapi masih terkawal kerana apabila
ditegur oleh guru, mereka menyambung balik tugasan mereka dengan mengira Blok
Dienes. (Nota pemerhatian Jaafar, 16 Mei 2011). Menurut Kamaruddin (2007),
pembelajaran aktif dapat dibentuk dengan menggunakan kaedah dan teknik pelbagai
serta bersesuaian dengan murid.
Langkah Kedua
Pengajaran
dan pembelajaran seterusnya pada lawatan ketiga pasukan pensyarah adalah
berhubung dengan tajuk penolakan dengan mengumpul semula. Pada kali ini,
kehadiran murid adalah berkurangan di mana hanya terdapat 15 orang murid
sahaja. Set induksi yang dibuat oleh guru adalah seperti berikut:
·
Semua murid dikehendaki berdiri,
·
Guru bertanya “ 5 buang 2 jadi
berapa?”.
·
Murid yang dapat menjawab dengan
betul dibenarkan duduk.
·
Manakala murid yang tidak
memberikan jawapan, guru menunjukkan bilangan jari (5) dan ditutup (2) untuk
‘buang’, kemudian bilang jari yang tinggal.
Guru
meneruskan pengajaran dengan memberi penerangan, “penolakan bermaksud digit
besar tolak digit kecil”. Ada di antara murid yang tidak melihat ataupun
mendengar penerangan guru, seterusnya guru menunjukkan contoh konsep penolakan
dengan melukis bentuk-bentuk bulat dan memangkahnya apabila ditolak, dan
membilang jumlah yang tidak dipangkah sebagai hasil tolak. Sepertimana
pengajaran sebelum ini, murid hanya diam mendengar dan kurang memberi respons
kepada soalan guru.
Langkah Ketiga
Kaedah
pengajaran ditukar kepada pembelajaran aktif di mana murid secara berpasangan
membuat proses penolakan menggunakan straw dengan diberi kad soalan. Seorang murid
akan menggunakan straw untuk membuat
pengiraan dan seorang lagi akan membacakan soalan.(Rekod Video4, 5 Julai
2011). Selepas itu, mereka bertukar posisi di mana seorang bertindak sebagai
guru dengan mengemukakan soalan dan rakannya membuat pengiraan menggunakan
straw dan carta nilai tempat.
Contohnya:
12 – 5
Kesan
yang boleh dilihat menerusi aktiviti ini adalah, murid bertindakbalas dengan
baik sekali apabila diminta menjadi guru kepada rakan mereka. Murid-murid ini
gembira apabila memperolehi peluang sedemikian dan mereka berusaha untuk
menghasilkan jawapan yang betul. (Nota pemerhatian Zunariah, 5 Julai 2011).
Murid-murid melakukan aktiviti dengan cepat dan berlumba-lumba sesama mereka
untuk menghabiskan kad soalan dalam masa yang singkat. Hanya tiga pasangan
murid sahaja yang dapat menyelesaikan lembaran kerja iaitu melengkapkan jawapan
dengan betul dalam lembaran kerja. Ini adalah disebabkan dua orang murid tidak
hadir ke sekolah. Terdapat masalah lain apabila menggunakan straw kerana straw
ringan, sukar dipegang jadi ada murid yang lebih selesa menggunakan batu-batu
kecil mengantikan straw yang telah dibuka ikatannya. Masalah kedua didapati
apabila menggunakan straw, ada seorang daripada mereka menggunakan straw
sebagai alat menyumpit rakan yang lain. Ini kerana, ada straw yang tidak
digunakan dalam pengiraan dan mereka perlu mengikat sejumlah 10 straw sahaja. Masalah
ini adalah kerana murid cepat hilang tumpuan dan yang paling ketara, murid
hanya membilang straw jika diletak di atas meja dan mereka tidak boleh
membilang di dalam tangan atau genggaman. (Nota pemerhatian Zunariah, 6 Julai
2011).
Dapatan
Kesan
daripada pembelajaran secara aktiviti berpasangan menunjukkan keselesaan murid
berinteraksi sesama mereka tanpa segan dan malu. Kajian ini secara tidak
langsung menunjukkan bahawa murid lebih seronok belajar tanpa terlalu banyak
arahan guru. Konsep penolakan yang sebelumnya sukar difahami menjadi
beransur-ansur mudah, ini dikesan apabila murid ditanya “bagaimana nak tolak 17
dengan 9 (17 – 9)”, murid mengatakan “kena buka getah straw ni dulu, baru boleh
tolak 9”. Ini menunjukkan bahawa mereka telah tahu nilai 7 adalah kecil dan
perlu mengambil nilai dari rumah “Pu” sebelum melakukan operasi tolak. Kajian menunjukkan konsep penolakan menjadi
lebih berkesan apabila murid
melibatkan diri dalam pembelajaran aktif.
Dalam kajian ini, walaupun hanya segelintir murid dalam kelas
sahaja yang dapat mengikuti pengajaran guru tetapi melalui pembelajaran aktif,
didapati lebih ramai murid beminat untuk belajar. Ini dapat dilihat melalui
perbuatan mereka sama ada menolong rakan membilang straw atau membuka dan
mengikat getah straw. (Rekod Video5, 7 Julai 2011).
Kesimpulan
Guru
perlu mempertimbangkan pengajarannya jika murid enggan untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti.
Ini timbul daripada masalah kurang kefahaman dan rasa malu, yang selalunya tidak disedari oleh guru-guru dan murid-murid lain. Oleh yang demikian, kita perlu bertanyakan
soalan: bagaimana kita boleh menggalakkan penyertaan
yang lebih berkesan oleh murid
yang tidak mengambil
bahagian dalam aktiviti di kelas?. Memberi pasangan
murid yang pandai dan lemah merupakan alternatif guru bagi menghadapi situasi
seperti ini. Pembelajaran
aktif membolehkan murid membangunkan personaliti sendiri dan mencipta suasana
yang mereka inginkan. Terdapat beberapa dapatan yang boleh menjadi asas kepada
kajian lanjutan seperti mengenal pasti kenapa murid-murid ini sukar membilang
menggunakan jari dan straw yang ada dalam genggaman. Dapatan kajian juga
menunjukkan pepatah cina adalah bertepatan dengan murid peribumi ini iaitu, “Saya dengar saya lupa,
saya lihat saya tahu dan saya buat saya faham”. Murid peribumi itu ibarat bekas yang kosong dan guru
berperanan untuk memenuhkan bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Guru juga
berperanan untuk membimbing murid ini untuk menghadapi cabaran pada masa
hadapan. Seharusnya murid belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu
pengetahuan berdasarkan pembelajaran mereka sendiri dan tidak bergantung
sepenuhnya dengan guru. Guru hanyalah seorang fasilitator yang akan memantau
perkembangan murid dalam mempelajari sesuatu konsep.
Rujukan
Active Learning Child Care-London, UK. http://www.activelearningchildcare.co.uk/
[akses 2 Oct.2011: 22.45]
Ibrahim
Md. Noh. (1993). Rupa Bentuk Matematik Dan Implikasi Terhadap Pendekatan Pengajaran
Dan Pembelajarannya Bagi Pelajar Luar Bandar. Berita
Matematik. No. 43, ms.14-23
Kamaruddin Hj.Husin (2007). Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Meyer,
C. & Jones, T. B. (2003). Promoting
Active Learning: Strategies for the College Classroom, San
Francisco, USA: Jossey-Bass.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan