Selasa, 28 Ogos 2012

KAJIAN KRAF MASYARAKAT ASLI SUKU TEMIAR, KUALA BETIS

Nor Anuwar Hamat,
Zaini Ab Rahman
Jabatan Kajian Sosial,
IPG Kampus Kota Bharu
 Abstrak
Mayarakat Orang Asli memang terkenal dengan penghasilan kraf. Hasil kraf mereka ini diakui mempunyai keunikan dan kualiti yang baik. Kajian Ini dilakukan Di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Betis, Gua Musang.  Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti jenis-jenis kraf yang dihasilkan, bahan atau media yang digunakan dan juga teknik yang digunakan dalam proses penghasilan kraf. Kajian ini juga dilakukan untuk melihat masa depan Kraf Masysrakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula Kuala Betis. Kajian ini merupakan satu kajian kualitatif, pengunaan pendekatan kualitatif adalah sesuai untuk satu kajian  yang melibatkan seseorang individu atau unit, satu kumpulan manusia, keluarga, satu kelas, sekolah, satu masyarakat, peristiwa atau budaya. Pengumpulan data dilakukan dengan cara temu bual, pemerhatian dan juga analisis dokumen. Beberapa responden  telah dipilih untuk ditemubual bagi mendapatkan maklumat. Data yang diperolehi akan diproses dengan menggunakan sistem kategori. Dapatan daripada kajian ini dapat digunakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dalam membantu meningkatkan penghasilan kraf. Perbincangan dan cadangan akan dilakukan bagi merintis jalan bagainama penghasilan kraf Masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Betis dapat ditingkatkan.
KAJIAN KRAF MASYARAKAT ASLI SUKU TEMIAR, KUALA BETIS
1.0 Latar Balakang  Kajian
Dalam kehidupan seharian, manusia akan cuba memenuhi keperluan kehidupan yang baik dan bermakna, tak kira di mana mereka berada. Bagi memenuhi keperluan ini manusia akan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memudahkan urusan seharian mereka. Mungkin cara yang berbeza tetapi matlamatnya sama untuk memenuhi keperluan kehidupan yang lebih selesa. Pada peringkat awal, manusia banyak beradaptasi dengan alam dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka banyak belajar dari alam dan meniru alam persekitaran yang melingkungi hidup mereka. Manusia mencipta peralatan dan kelengkapan yang merupakan   keperluan dalam kehidupan mereka berpandukan alam sekeliling. Hubungan manusia dengan alam telah membentuk satu peraturan yang memerlukan mereka saling menghormati antara satu sama lain. Hasil hubungan ini wujudlah sistem yang menjadi pegangan dan amalan dalam kalangan mereka. Peraturan ini telah menjadi amalan dalam kalangan manusia untuk membentuk satu masyasrakat yang saling menghormati dan saling memerlukan antara satu sama lain. Bagi ahli antropologi, manusia memiliki ciri fizikal dan pelbagai corak kebudayaan yang berkaitan dengan amalan seharian seperti adat, kepercayaan dan ritual mengikut perkembangan sesuatu organisasi manusia, selaras dengan asas perkembangan semulajadi manusia dan keperluan sosial untuk memenuhi keperluan hidup. Keadaan itu bergantung kepada alam sekeliling tempat tinggal dan perkembangan sejarah kehidupan. (M Philip Dalam Zahidi 2009: hlm 2).
Di Malaysia terdapat kira-kira 140 000 Orang Asli. Kebanyakan mereka ini tertumpu di Semenanjung Malaysia. Negeri Kelantan, Pahang, Perak, Johor dan Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah Orang Asli yang paling ramai. Terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli di Malaysia iaitu, Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.
Kumpulan Negrito terdiri daripada suku Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Kumpulan Senoi terdiri daripada suku Temiar, Semai, Semoq Beri, Jah Hut, Mahmeri dan Che Wong. Manakala kumpulan Melayu-Proto terdiri daripada suku Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar. Suku Temiar sebahagian besarnyanya terdapat di Kampung Chengkelik, RPS Kuala Betis, Kelantan, Kampung Merlung, (RPS) Kuala Betis, Kelantan, Kampung Jarau Baru RPS Kemar Gerik, Perak, Kampung Sungai Cadak, Ulu Kinta , Perak, Kampung Temakah, Perak, Kampung Ulu Gerik, Perak, Post Poi, Lasah, Sungai Siput (Utara), Perak dan RPS Air Banun, Hulu Perak. Kuala Betis merupakan sebuah petempatan Orang Asli Suku Temiar yang  terbesar di selatan negeri Kelantan. Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang. Ia boleh dihubungi melalui jalan darat menuju Cameron Highland. Di sini juga terletak Gua Cha, yang merupakan antara petempatan awal manusia pada zaman Mesolitik.
Masyarakat Orang Asli memang terkenal dengan penghasilan kraf tangan. Contohnya, masyarakat Orang Asli Mahmeri dan Jah Hut memang terkenal dengan ukiran patung yang sangat unik.Selain itu, Masyarakat Orang Asli juga terkenal dengan penghasilan kraf tangan dari rotan, buluh,akar dan sebagainya. Kraf tangan merupakan suatu keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil daripada sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan.
1.1 Permasalahan Kajian
Penempatan Orang Asli Suku Kaum Temiar di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis telah mendedahkan masyarakat asli dengan arus kemajuan. Keadaan ini sedikit sebanyak telah mengubah cara hidup mereka. Kedudukan kampung Kuala Betis yang berhampiran jalan menuju ke pusat peranginan Cameron Highland menjadikan penempatan ini mudah dihubungi  dan telah membuka  ruang kepada kemasukan budaya luar. Kesan perubahan ini telah mula dirasai oleh Masyarakat Orang Asli di sini. Amalan hidup seharian mulai berubah, Pergantungan kepada hasil hutan seperti memburu untuk mendapatkan sumber makanan semakin berkurangan. Hasil hutan yang semakin berkurangan talah memaksa mereka mencari alternatif  lain untuk mendapatkan sember makanan. Warisan tradisi seperti hiburan dan penghasilan kraf juga turut menerima kesan ini. Sumber utama untuk penghasilan kraf  semakin berkurangan, rotan dan buluh yang berkualiti semakin sukar untuk diperolehi.  
Kajian ini perlu dilakukan untuk mencari dan meneroka bidang  kraf tangan yang dihasilkan oleh Masyarakat Orang Asli  Suku Temiar di Kuala Betis. Kajian ini juga akan melihat bagaimanakah masa depan kraf tangan  penduduk  di sini.
1.2 Objektif Kajian
1)     Mengenal jenis kraf yang dihasilkan.
2)     Mengkaji media yang digunakan dalam penghasilan kraf tangan.
3)     Mengkaji teknik yang digunakan dalam penghasilan kraf tangan.
4)     Melihat masa depan kraf tangan yang dihasilkan.
1.3 Persoalan Kajian
1)     Apakah jenis kraf yang dihasilkan.
2)     Bagaimanakah pemilihan media yang digunakan dalam penghasilan kraf tangan.
3)     Bagaimanakah teknik yang digunakan dalam penghasilan kraf tangan.
4)     Bagaimanakah masa depan kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk petempatan ini.
1.4 Kepentingan Kajian
Kajian ini diharap memberikan gambaran sebenar masa depan kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli Kuam Temiar. Ia juga diharapkan dapat membantu Jabatan Kemajuan Orang Asli dalam meningkatkan produktiviti kraf tangan Suku Temiar. Kajian ini juga diharapkan dapat mencari punca kurangnya minat dalam kalangan muda-mudi masyarakat asli dalam penghasilan kraf tangan.
1.5 Batasan Kajian
Kajian ini dilakukan di Kampung Chengkelih dan Kampung Merlung Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan. Kajian ini melibatkan empat keluarga orang asli dari Suku Temiar. Kajian ini dilakukan untuk melihat kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat asli di sini.
1.6 Kajian Literatur
Kajian mengenai kraf tangan  Masyarakat Orang Asli Suku Temiar di Kuala Betis setakat ini belum ditemui lagi. Menurut Mary Louise Edwards, kraf tangan menyentuh pemikiran tentang kasih sayang, pekerjaan, komuniti, kecintaan, kemahiran, tradisi, material, masa, objek, reka bentuk, amalan dan juga seni. Ungkapan itu hidup dan menjadi keperluan dalam organisasi, amalan individu dan kehidupan keseluruhannya. Corak kemahiran yang wujud dapat membentuk keputusan terhadap nilai estetik.  Simbolisme atau simbol merupakan suatu bentuk penekanan atau ekspresi budaya masyarakat zaman lampau hingga  masa kini, selaras dengan pandangan yang mengatakan simbol itu terbentuk daripada pengaruh sejarah dan kehidupan seharian, kepercayaan dan agama serta alam sekitarnya. Dalam buku The Persistent Object, Rose Slivka mendefinisikan kraf sebagai suatu tindakan pengubahsuaian bahan menurut kehendak pandai tukang yang dapat mengekalkan realiti kehendak manusia. Alam sebenar kewujudan objek menjadi sebagai seni dan mempunyai fungsinya. Melalui sejarahnya yang panjang, kraf telah menjadi objek yang mempunyai nilai dan kerangka terhadap tujuan manusia membuat dan menggunakannya. Menurut Peter Dormer dalam bukunya ‘The Culture of Craft’ ,bermakna kraf tangan  dikaitkan dengan aktiviti kreativiti berkemahiran yang berkait dengan proses membuat dekorasi atau membuat sesuatu ke atas objek dengan menggunakan tangan. Kraf tangan  merujuk kepada penciptaan sesuatu objek yang asli melalui kebolehan artis melakukan perubahan terhadap bahan dan sejarah kewujudan kraf tangan  dikenal pasti kerana keperluannya dalam kehidupan. Pengertian ini ada kaitannya dengan pendapat Edward Lucie-Smith dalam bukunya The Story of Craft yang menyatakan bahawa semua proses pembuatan menggunakan tangan sama ada untuk tujuan ritual atau tujuan hiasan semata-mata adalah objek kraf tangan.
1.7 Metodologi Kajian
Kajian ini mengunakan pendekatan kajian kualitatif. Penggunaan reka bentuk penyelidikan   menggunakan data kualitatif amat sesuai untuk suatu kajian  yang melibatkan seseorang individu atau unit , satu kumpulan manusia, keluarga, satu kelas, sekolah, satu masyarakat, peristiwa atau budaya.
2.0 Sumber Data dan Teknik Pengambilan Data
Sumber data dan teknik pengambilan data dalam kajian ini dilakukan dengan menggunakan beberapa cara dan menggunakan beberapa teknik. Antara cara yang dilakukan ialah :
2.1 Melalui  kaedah temubual
Kaedah temubual dipilih kerana bersesuaian dengan kajian yang memerlukan pengkaji mendapat maklumat daripada responden. Temubual akan  dilakukan dengan empat keluarga yang terlibat dalam penghasilan kraf tangan. Temubual juga akan diadakan dengan penghulu kampung tersebut. Kaedah temubual mempunyai konsep iaitu boleh digunakan untuk mendapatkan data bagi memperolehi sesuatu maklumat tentang sesuatu fakta, 
2.1.1 Jenis-jenis temubual
Fontana dan Ferry (1994), Merriam (1998) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temubual yang biasa digunakan dalam sesuatu kajian iaitu temubual berstruktur, temubual separa struktur dan temubual tidak berstruktur. Begitu juga dengan Patton (1980) terdapat tiga jenis temubual iaitu, temubual formal, temubual tidak formal dan temubual terbuka.
2.1.2.Temubual semi struktur.
Temu bual semi struktur dipilih untuk digunakan dalam kajian ini. Temu bual semi struktur melibatkan soalan yang telah disusun dan dijadualkan terlebih dahulu oleh pengkaji, bagi responden mereka mempunyai kebebasan dan kelonggaran semasa memberikan jawapan mereka. Berbanding dengan temu bual struktur, proses temu bual ini tidak begitu tegas walaupun soalan telah disusun dan dijadualkan.  
2.2  Kaedah pemerhatian.
Pemerhatian telah dipilih untuk mendapatkan data dalam kajian ini. Pemerhatian merupakan satu cara yang sesuai untuk mendapatkan data dan maklumat. Pemerhatian dilakukan ke atas empat keluarga yang telah dipilih. Pemerhatian akan dilakukan semasa aktiviti penghasilan kraf tangan untuk melihat bahan dan teknik yang digunakan. Pemerhatian terhadap persekitaran tempat tinggal juga akan dilakukan.
Pemerhatian merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan. Melalui pemerhatian, penyelidik mengamati tingkahlaku subjek berdasarkan pemboleh ubah yang dikenal pasti. Pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data. 
Pengkaji atau penyelidik perlu membuat pemerhatian terhadap subjek dalam tempoh masa tertentu. Kaedah pemerhatian banyak digunakan dalam kajian yang melibatkan kajian yang berkaitan dengan sains tulen. Persekitaran untuk membuat pemerhatian mestilah memberikan peluang kepada pengkaji untuk membuat pemerhatian sepenuhnya. Pemerhatian juga boleh dibuat dengan menggunakan teropong dan juga alat rakaman audio video. Melalui rakaman pengkaji boleh melakukan pemerhatian berulang kali.
Kaedah pemerhatian sangat perlu dilakukan terutama semasa proses penghasilan kraf tangan sedang dijalankan. Melalui pemerhatian dijangka akan mendapat:
a)     Sampel-sampel kajian yang terperinci, jelas, teliti dan tepat akan diperolehi  melalui      cara pemerhatian.
b)     Segala maklumat yang diperolehi samada yang dijangka atau tidak akan  merupakan data yang penting  dalam kajian.
c)     Penyelidik boleh mengenal pasti subjek secara lebih dekat dan lebih jelas.
2.3  Analisis Dokumen
Analisis dokumen akan dilakukan dengan mendapatkan dokumen dari Jabatan Kemajuan Orang Asli. Dokumen merupakan satu bahan yang boleh membantu pengkaji untuk  mendapatkan data serta maklumat. Selain dari membuat pemerhatian terhadap sesuatu subjek, dokumen juga boleh membantu untuk mendapatkan sejarah awal, latar belakang seseorang, maklumat peribadi dan sebagainya.
2.5 Rakaman Visual / Audio
Rakaman visual akan dilakukan untuk mendapatkan data dan maklumat bagi tujuan kajian ini. Rakaman ini akan  digunakan untuk melihat semula aktiviti penghasilan kraf tangan. Beberapa maklumat akan diperolehi daripada rakaman yang dibuat. Rakaman adalah sangat penting dalam membantu pengkaji untuk membuat pemerhatian. Melalui rakaman pengkaji boleh meneliti beberapa kali situasi yang ingin dibuat pemerhatian. Rakaman juga boleh membantu pengkaji untuk mendapatkan gambaran dari sudut yang berlainan dalam sesuatu masa. Ini akan membantu pengkaji membuat pemerhatian dalam sudut pandangan yang berbeza. Ia juga membantu pengkaji untuk membuat pemerhatian yang lama.
 3.0  ANALISIS DATA
Analisis induktif melibatkan analisis menggunakan kategori yang dibina dan dinyatakan orang terlibat untuk menyusun tema tertentu. Melalui analisis induktif juga penyelidik akan membina istilah secara induktif untuk menerangkan kategori yang dibina.
1. Membina Sistem Kategori
Sistem menggunakan kategori atau kod tertentu untuk menganalisa dan mentafsir data  kualitatif dengan cara ;
Mengenal pasti
Mengasingkan
Mencari persamaan
Mengesan perulangan
Mengecam (mengenal ) perbezaan
Menyusun
Mengklasifikasi
Rajah 3.0 Wanita Temiar Menganyam Tikar
Dapatan Kajian
Jenis kraf yang dihasilkan.
Daripada temubual yang dilakukan didapati beberapa jenis kraf yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Betis. Antara kraf yang dihasilkan ialah tikar mengkuang, raga, bubu, model kapak untuk cenderahati, bekas sayur dan makanan, raga galas, sumpit (senjata) dan seruling hidung (alat muzik).
Rajah 3.1: Jenis kraf yang dihasilkan
Hasil daripada temu bual dengan keluarga 1 - Amoi Binti Kilau, keluarga 2 - Abus Bin Angah,   keluarga 3 - Sayeh Binti Pedik dan keluarga  4  - Abak Bin Agok, didapati tikar merupakan hasil kraf utama masyarakat Orang Asli di sini. Kecenderungan untuk membuat tikar menjadi minat utama masyarakat kerana mereka juga masih menggunakan tikar sebagai alas tempat duduk mereka walaupun penggunaan tikar getah semakin diminati. Bagi rumah yang berlantaikan kayu penggunaan tikar mengkuang lebih sesuai kerana struktur susunan kayu atau papan lantai tidak sama. Penggunaan tikar mengkuang lebih selesa dan sejuk kerana ia mempunyai ruang untuk diresapi udara.
Rajah 3.2
Penghasilan sumpit semakin kurang kerana tidak ramai penduduk di situ yang tahu membuat sumpit. Keadaan ini terjadi kerana mereka tidak lagi menjadikan pekerjaan memburu sebagai sumber utama untuk mendapatkan makanan. Sebaliknya binatang seperti ayam, itik dan kambing sudah menjadi binatang peliharaan.
Pemilihan media yang digunakan dalam penghasilan kraf.
Masyarakat Orang Asli di sini menggunakan bahan yang terdapat di persekitaran mereka untuk menghasilkan kraf. Hasil dari pemerhatian dan temubual didapati bahan yang digunakan ialah seperti buluh, rotan, mengkuang, akar dan kayu digunakan untuk menghasilkan kraf. Buluh digunakan untuk menghasilkan raga, dinding rumah, bubu, serunai, sumpit bekas makanan dan sayuran. Pemilihan buluh untuk menghasilkan bahan-bahan tersebut kerana sifat buluh yang mudah dilentur, mempunyai ketahanan yang lama, kukuh dan menarik. Selain itu buluh merupakan bahan yang mudah diperolehi.
Rotan digunakan untuk menjalin bubu dan beg galas, membuat bakul, membuat bingkai raga dan juga cenderahati. Rotan menpunyai sifat yang mudah dilentur, tahan lama, kuat dan boleh digunakan sebagai ikatan jalinan dan juga sebagai bingkai raga kerana sifatnya yang tahan dengan kelembapan dan panas. Pada masa sekarang rotan yang berkualiti semakin sukar didapati. Keadaan ini terjadi kerana banyak kawasan hutan telah diterokai.
Mengkuang digunakan untuk membuat tikar dan juga beg galas. Mengkuang boleh diperolehi disekitar kawasan kampung Kuala Betis. Mengkuang merupakan bahan utama dalam membuat tikar kerana ia lembut dan tahan lama. Mengkuang dicelup dengan pelbagai warna untuk menghasilkan tikar yang menarik. Pada masa sekarang, tikar yang dihasilkan kebanyakannya ditempah untuk cenderahati dengan saiz yang agak kecil. Persaingan dengan tikar getah telah menyebabkan permintaan tikar mengkuang semakin berkurangan.
Rajah 3,3
Akar juga dijadikan bahan dalam penghasilan kraf oleh Masyarakat Orang Asli. Akar senang diperolehi dari hutan yang berhampitan dengan tempat tinggal mereka. Akar digunakan dalam penghasilan bakul, raga, sebagai penjalin bingkai raga dan juga barangan cenderahati.
Kayu digunakan sebagai pelengkap kepada penggunaan rotan dan buluh. Dalam penghasilan kraf, kayu juga digunakan untuk membuat cenderahati. Masyarakat Orang Asli di sini tidak menghasilkan kraf yang bercorak patung.
Rajah 3.4(a)
Rajah 3.4(b)
Teknik yang digunakan dalam penghasilan kraf.
Melalui pemerhatian dan juga rakaman yang dilakukan didapati sebahagian besarnya hasil kraf Masyarakat Orang asli di sini dihasilkan dengan menggunakan teknik anyaman. Hasil tersebut ialah bakul, raga, beg galas, tikar, dinding rumah daripada buluh dan juga bekas makanan dan sayuran. Hanya sumpit dan seruling sahaja yang dihasilkan dengan menggunakan teknik ukiran. Barangan cenderahati biasanya menggunakan teknik gabungan. 
Rajah 3.5(a) En Nor Anuwar Hamat Memegang Kraf Temiar
Rajah 3.5(b) En Nor Anuwar Hamat Memegang Bubu Kecil
Masa depan kraf yang dihasilkan.
Hasil daripada temubual dan pemerhatian yang dijalankan didapati sebilangan kecil sahaja keluarga penduduk di RPS Kuala Betis yang masih meneruskan aktiviti tradisi mereka iaitu menghasilkan kraf. Terdapat lebih kurang 9 keluarga sahaja yang menjalankan aktiviti penghasilan barangan kraf.  Kebanyakan penduduk tidak lagi menjalankan aktiviti penghasilan kraf kerana keperluan kraf dalam kehidupan seharian mereka semakin berkurangan. Permintaan untuk pasaran kraf dari orang luar juga semakin merosot.
Menurut Abok, seorang penduduk di sini, permintaan kraf semakin berkurangan sejak kebelakangan ini. Keluarganya akan membuat tikar dan raga sekiranya ada permintaan dari orang luar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk dijual sebagai cenderahati. Sekiranya tidak ada permintaan, penghasilan kraf hanya untuk kegunaan sendiri sahaja. Kemasukan peniaga dan penjaja ke penempatan ini telah mengalih minat penduduk kepada barangan plastik yang mampu dibeli dengan harga yang murah.
Peluang pekerjaan dalam sektor lain seperti pembalakan, pertanian dan perladangan telah meningkatkan pendapatan penduduk. Pergantungan kepada hasil aktiviti tradisi mereka semakin berkurangan. Mereka mampu membeli keperluan kelengkapan mereka daripada peniaga yang kerap berkunjung ke penempatan ini.
Golongan muda-mudi tidak lagi berminat dalam aktiviti penghasilan barangan kraf, Sebahagian besar daripada mereka sudah tidak mempunyai kemahiran dalam menghasilkan kraf. Proses pengajaran kemahiran kraf secara tidak formal yang berlaku dalam sesebuah keluarga dilihat juga semakin berkurangan. Sebagai contoh, golongan muda sudah tidak pandai menyumpit apatah lagi untuk membuat sumpit. Di sini  terdapat hanya seorang sahaja yang mahir membuat sumpit. Golongan muda-mudi terpengaruh dengan arus kemodenan masa kini dan beralih tumpuan kepada pekerjaan lain yang mendapat hasil pulangan yang lebih baik. 
Rajah 3.6(a)
Rajah 3.6(b)
Rajah 3.6(c)
Rajah 3.6(d)
Rajah 3.6(d)
Rajah 3.6 (e)
Rajah 3.6(f)
Perbincangan
Permasalahan sumber
Penghasilan kraf  banyak menggunakan sumber asli dari hutan. Sumber yang diperlukan seperti rotan, buluh, mengkuang dan juga akar. Pengiat kraf akan mendapatkan sendiri  bahan-bahan ini dari hutan. Biasanya mereka akan berulang alik ke hutan selama beberapa untuk mengumpul bahan yang diperlukan. Pada masa sekarang Pengiat Kraf Masyarakat Orang Asli menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber hutan, penerokaan hutan untuk dijadikan kawasan pertanian telah menyebabkan sumber ini samakin berkurangan. Merekan terpaksa berjalan jauh ke dalam hutan untuk mendapatkan bahan yang berkualiti. Sebelum ini mereka hanya perlu ke belakang rumah sahaja untuk mendapatkan rotan dan buluh.
Permasalahan kepakaran
Kajian yang dijalankan di RPS Kg Kuala Betis kita hanya menemui  sembilan keluarga sahaja yang masih menjalankan kegiatan penghasilkan kraf. Kebanyakan mereka menghasilkan kraf apabila ada tempahan, jumlah penghasilan adalah dalam jumlah yang sedikit. Mereka tidak boleh bergantung kepada hasil kraf untuk menampung keperluan hidup. Menurut Sayeh Bt. Pedik seorang pengiat kraf di sini, masalah dalam penghasilan kraf sekarang ialah kerana kekurangan orang yang berkemahiran dalam penghasilan kraf.  Menurutnya lagi golongan kanak-kanak dan remaja orang asli sekarang, mereka sudah bersekolah dan biasanya mereka  tinggal di asrama, jadi mereka tidak berpeluang untuk belajar teknik penghasilan kraf daripada keluarga meraka. Penghasilan kraf dalam Masyarakat Orang Asli biasanya diperturunkan kepada anak-anak mereka secara peniruan. Kanak-kanak akan meniru perbuatan orang dewasa menghasilkan kraf pada waktu lapang.
Permasalahan persaingan dengan barangan luar
Kesan daripada jalan perhubungan yang agak baik telah menarik minat peniaga dari luar untuk memasarkan barangan mereka di sini. Ramai penduduk mulai tertarik untuk menggunakan barangan plastik yang boleh dibeli denagn harga yang murah. Mereka tidak lagi berminat untuk menghasilkan kraf yang menjadi kegunaan utama di rumah.
CADANGAN
Latihan di sekolah
Bagi menjamin Kraf Masyarakat Orang  Asli terus terpelihara, beberapa langkah perlu diambil antaranya, megadakan  kelas kraf  di sekolah pada waktu petang. Kelas ini boleh dijalankan pada sebelah petang dengan menggunakan bilik darjah atau ruang tertentu sebagai tampat untuk murid mempelajari teknik penghasilan kraf.  Ibu bapa yang mempunyai kemahiran dalam penghasilan kraf bertindak sebagai tenaga pengajar. Mereka yang mempunyai kemahiran dalam kraf yang berbeza boleh bergilir-gilir mengajar pada sebelah petang. Pemberian elaun oleh pihak Perbadanan Kraf  kepada tenaga pengajar juga boleh diusahakan untuk kepentingan pengekalan penghasilan kraf.
Penubuhan Pusat Pengumpulan kraf
Satu pusat pengumpulan kraf perlu diwujudkan di penempatan ini untuk memudahkan pengusaha kraf  memasarkan produk mereka. Kraf yang dihasilkan dikumpul dalam jumlah yang banyak untuk dipasarkan di seluruh negara. Sebahagian besar penduduk asli di sini tidak mempunyai kemudahan pengangkutan untuk membawa hasil kraf mereka ke pekan atau bandar. Dengan mewujudkan pusat pengumpulan ini akan memudahkan peniaga dari luar membeli hasil kraf di ini.
Penyertaan dalam Promosi kraf
Kerjasama dengan Pusat Kraf Tangan Malaysia perlu dilakukan oleh penduduk di sini. Kraf Tangan Malaysia mengadakan Promosi Kraf Sepanjang tahun. Ini merupakan satu peluang kepada pengusaha kraf di sini untuk turut sama melibatkan diri dengan mengambil  bahagian dan ikut serta dalam promosi yang dijalankan. Ia merupakan satu peluang kepada pengusaha kraf untuk memasarkan terus hasil kraf mereka kepada orang ramai tanpa menggunakan orang tengah.
Bantuan kepada pengiat kraf
Bantuan sara hidup kepada pengiat kraf, untuk menjamin pendapatan untuk menampung keluarga.
KESIMPULAN
Dalam kajian yang dijalankan didapati kedudukan Kraf Orang Asli Temiar  di RPS Kuala Betis berhadapan dengan satu situasi . Sumber hutan yang semakin berkurangan, tenaga kepakaran yang semakin hilang dan persaingan dengan produk moden. Dalam kita cuba memajukan masyarakat orang asli kadang kala  mereka terlepas beberapa nilai yang sepatutnya mereka bawa bersama dalam menuju kemajuan.
RUJUKAN
Juli Edo (1988), Agama dan Perubatan Masyarakat Semai. M.Phil. Faculty of Social Science    and Humanities, UKM, Bangi.
Osman bin Bongsu (1994), Hubungan Cara Gaya Asuhan Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Akademik Pelajar Orang Asli. Projek Ijazah Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunselling), Jabatan Pendidikan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Serdang.
Salmah binti Hussin (1993), Budaya dan corak hidup Masyarakat Mahmeri kesan dari pembangunan moden. B.A. Graduation Exercise. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, UM, Kuala Lumpur.
Zaiton Surut (1996), Penilaian Taraf Pemakanan Kanak-Kanak Pra-Sekolah Masyarakat Orang Asli (Suku KaUM Temuan). Latihan Ilmiah, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Serdang. http://www.craftcouncil.org/html/aboutcraft/. Feb.,2006.

4 ulasan:

  1. Salam.. Nak tanya.. Encik tahu tak berkaitan dengan pembuatan raga galas?

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,,perkongsian yang baik..Saya minta izin ye untuk berkongsi pengisian blog ini untuk projek seni saya..Terima kasih :)

    BalasPadam
  4. assalamualaikum...perkongsian yang sangat bermanfaat..saya mohon izin tuan untuk kongsi hasil kajian tuan utk tugasan saya.. terima kasih.

    BalasPadam