Ahad, 26 Ogos 2012

KEMISKINAN DAN PENDIDIKAN: KAJIAN PERBANDINGAN ORANG ASLI DI POST TOHOI, GUA MUSANG DAN ORANG ASLI POST BROOKE, GUA MUSANG

Hj Muhammed Nata Mohammad
Dr Abdullah Derahman
Jabatan Penyelidikan, Inovasi & Profesionalisme Keguruan,
IPGM Kampus Kota Bharu
Abstrak
Kajian ini adalah untuk melihat hubungan di antara kemiskinan dengan pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli di Post Tohoi dan Post Brooke, Gua Musang. Kajian ini dijalankan berasaskan metodologi tinjauan yang melibatkan soalselidik yang diedarkan kepada masyarakat Orang Asli di Post Tohoi dan Post Brooke, Gua Musang. Kajian ini menggunakan 2 post yang berbeza iaitu Post Tohoi yang terletak di pedalaman yang menyebabkan masyarakatnya lebih terasing dari pembangunan dan Post Brooke yang terletak di tepi lebuh raya Cameron Highland – Gua Musang dan menerima kesan limpahan pembangunan ekonomi pembangunan pertanian tanah tinggi di Cameron Highland dan Lojing. Bagi menjayakan kajian ini, pengkaji menggunakan khidmat 2 orang petugas dari kalangan Orang Asli dari setiap Post untuk mempastikan kesahan instrumen. Kajian ini akan menggunakan seramai 60 orang responden yang mempunyai anak bersekolah dari kedua-dua post yang dipilih secara rawak.  Data kajian akan diproses menggunakan perisian SPSS versi 16. Dapatan kajian ini mendapati bahawa 93.3 peratus isi rumah di Post Tohoi adalah miskin dengan 73.3 peratus miskin tegar, manakala di Post Brooke pula 30 peratus miskin dengan 13 peratus miskin tegar.
1.0        PENGENALAN
Ketidakseimbangan sosioekonomi dan wujudnya golongan miskin mempengaruhi kemunduran pencapaian akademik dalam kalangan pelajar pribumi. Faktor kemiskinan, keluarga, pelajar, sekolah, dan persekitaran banyak mempengaruhi kelemahan pelajar pribumi dalam akademik terutamanya dalam aspek bahasa, angka, pembelajaran, dan perkembangan minda. Kemiskinan meliputi pelbagai dimensi dan takrif. Umumnya, kemiskinan merujuk kepada ketidaksejahteraan, ketertinggalan, dan kemunduran sesuatu masyarakat mengikut ukuran atau norma tertentu. Komponen ekonomi sering menjadi ukuran penting tahap kemiskinan. Kajian ini adalah untuk melihat hubungan di antara kemiskinan dengan pendidikan dalam kalangan masyarakat pribumi di pedalaman Kelantan yang mendiami Post Tohoi dan Post Brooke, Gua Musang.
1.1        KEMISKINAN DAN PENDIDIKAN ORANG ASLI
Kajian-kajian kemiskinan dan pembangunan desa di Malaysia yang melibatkan semua kaum secara keseluruhannya sering menunjukkan tahap pendidikan keluarga miskin adalah rendah (Chamhuri 2005). Kemiskinan dalam golongan masyarakat orang Asli adalah sesuatu fenomena yang jarang dikaji. Hal ini adalah disebabkan oleh rata-rata orang Asli adalah miskin. Mengikut Perangkaan JHEOA, kemiskinan tegar dalam kalangan orang Asli adalah tinggi iaitu melebihi 90 peratus. Orang Asli dilihat mampu menyerap kedhaifan dan kemiskinan dengan kehidupan dengan serba kekurangan daripada kemudahan asas.
Jurang kemiskinan yang wujud dalam kalangan orang Asli adalah sesuatu fenomena yang amat membimbangkan kerana kemiskinan akan terus menjana kemiskinan dalam satu kitaran yang dikenali sebagai kitaran ganas kemiskinan (vicious cycle of poverty). Dalam kitaran ini, kemiskinan dan persekitaran menyebabkan pencapaian pendidikan yang rendah dan seterusnya menyebabkan kemiskinan terus bercambah dan berkembang.
Pemerhatian dan perbincangan pengkaji dengan para guru dan pegawai JHEOA mendapati rata-rata, pencapaian akademik murid orang Asli adalah jauh lebih rendah berbanding murid kaum lain pada setiap peringkat pendidikan. Kajian  keciciran di kalangan murid orang Asli SK Pasir Linggi juga mendapati bahawa kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa melupakan persekolahan bagi membantu mencari nafkah dengan masuk hutan mencari rotan, damar, buluh dan sebagainya (Mohamad Shamsuddin Jamiran 2008).
Pada hari ini, kemiskinan tegar orang Asli telah dapat dikurangkan dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan pendidikan kepada orang Asli. Antara langkah kerajaan ialah menyediakan kemudahan infrastruktur pendidikan yang setaraf dengan sekolah-sekolah kawasan bandar, menyediakan kemudahan asrama, buku teks, baucher tuisyen, guru-guru yang mencukupi di semua sekolah orang Asli. Pendidikan kepada ibubapa juga disediakan dengan menyediakan Kelas Dewasa Asli Peribumi (KEDAP) kepada ibubapa murid orang Asli bagi memberi kesan intergenerational effects khususnya terhadap tahap dan pencapaian pendidikan anak-anak serta keupayaan untuk mengubah mobiliti sosial. Kesemua ini mempunyai implikasi yang besar ke atas pembangunan masyarakat dan sumber tenaga masyarakat orang Asli.
2.0        METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini dijalankan berasaskan metodologi tinjauan. Sejumlah 60 orang responden dipilih menggunakan teknik persampelan rawak mudah, yang memebri peluang sama rata kepada semua populasi di kedua-dua post untuk dipilih sebagai sampel. Kaedah persampelan bertujuan digunakan untuk mendapatkan sampel berasaskan bilangan rumah.
Kajian ini melibatkan pengumpulan data secara kuatitatif dengan menggunakan satu set soal selidik yang diedarkan kepada ketua isi rumah orang Asli di Post Tohoi dan Post Brooke, Gua Musang. Sampel ditentukan adalah seimbang bagi dua lokasi iaitu 30 orang dari Post Tohoi, Gua Musang dan 30 orang dari Post Post Brooke, Gua Musang.
Pengkaji menggunakan khidmat 2 orang petugas dari setiap Post untuk membantu responden menjawab soalan-soalan yang dinyatakan. Bagi tujuan tersebut, petugas telah diberi penerangan secara jelas agar mereka dapat memahami dengan sebenar-sebenarnya kehendak soalan-soalan soal-selidik. Hal ini amat penting bagi mempastikan kesahan instrumen.
3.0        DAPATAN KAJIAN
Analisis data kajian yang diperoleh daripada 60 responden orang Asli yang dilakukan mendapati perkara-perkara berikut.  Merujuk Jadual 4.a, pekerjaan responden kajian adalah berfokus kepada berikut iaitu dalam sektor pertanian. Seramai 28 orang dari Post Tohoi terlibat dalam sektor pertanian, manakala 12 orang di Post Brooke.
                  Jadual 3.1 : Pekerjaan Responden
Pekerjaan
Post Tohoi
Post Brooke
Mencari hasil hutan
12
4
Petani / Peladang
16
8
Bekerja makan gaji (Kerajaan)
-
1
Bekerja makan gaji (Swasta)
2
16
Berniaga
-
1
---------------------------
Jumlah
---------------------------
---------------
30
---------------
-----------------
30
-----------------
Jadual 3.2, pemilikan harta dalam kalangan orang Asli adalah tinggi merujuk kepada pemilikan kebun dan ladang. Ladang-ladang yang diusahakan dengan getah, dusun dan sayur-sayuran. Bagaimanapun perbincangan pengkaji dengan pegawai JHEOA mendapati bahawa kebun-kebun orang Asli ini adalah tidak terurus dengan baik dengan keluasan tanah yang minima dan bilangan tanaman per hektar yang rendah disebabkan oleh ancaman binatang dan juga kekurangan pengetahuan dan kemudahan.
Jadual 3.2 : Pemilikan harta (Kebun / Ladang) Responden
Pemilikan
Post Tohoi
Post Brooke
Memiliki kebun / ladang
30
30
Memiliki kebun getah
18
12
Memiliki kebun sayur
---------------------------
2
---------------
22
-----------------
Merujuk Jadual 3.3, pendapatan  bagi isi rumah orang Asli di kedua-dua Post juga memperlihatkan perbezaan yang ketara. Pendapatan isi rumah di Post Tohoi adalah jauh lebih rendah berbanding dengan pendapatan isi rumah di Post Brooke. Hal ini adalah disebabkan peluang pekerjaan yang banyak dan meluas di Post Brooke berbanding Post Tohoi yang berada di kawasan pedalaman. Terdapat banyak ladang yang diusahakan oleh pekebun-pekebun sayur Cina yang menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan sederhana kepada isi rumah di Post Brooke berbanding isi rumah di Post Tohoi yang bergantung kepada hasil getah dan kebun yang tidak seberapa.
      Jadual 3.3 : Pendapatan Isi Rumah Responden
Julat Pendapatan
Post Tohoi
Post Brooke
Kurang RM 250
22
4
RM 251- RM 500
6
5
RM 501 – RM 750
2
16
RM 751 – RM 1000
-
2
RM 1001 – 1500
-
1
RM 1501  ke atas
-
2
---------------------------
Jumlah
---------------------------
---------------
30
---------------
-----------------
30
-----------------
Merujuk Jadual 3.4, pemilikan kemudahan asas dalam kalangan isi rumah orang Asli iaitu pemilikan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elekterik mendapati bahawa kedua-dua post adalah bergantung kepada bekalan air dari bukit yang dikenali sebagai air tadahan. Tidak terdapat bekalan elekterik di Post Tohoi, manakala hampir semua rumah di Post Brooke dalam kajian ini mendapat kemudahan elekterik. Pemilikan televisyen yang merupakan satu daripada sumber informasi terbaik dalam membangunkan pemikiran moden masyarakat juga tidak dimiliki di Post Tohoi, manakala suasana yang berbeza di Post Brooke, iaitu hampir semua rumah memiliki televisyen dengan capaian saluran Astro. Pemilikan radio menunjukkan pemilikan yang baik, iaitu sebanyak 26 isi rumah di Post Tohoi memiliki radio dan semua isi rumah di Post Brooke memiliki radio. Radio dilihat sebagai satu media baik untuk memberi pendedahan pemikiran pendidikan kepada orang Asli di kedua-dua post.
Pemilikan telefon bimbit juga adalah tinggi di kedua-dua post. Walaupun tidak terdapat liputan talian telefon bimbit di Post Tohoi, namun 18 isi rumah yang ditemui memiliki telefon bimbit. Menurut mereka, ianya keperluan urusan sewaktu di Gua Musang. Liputan talian telefon bimbit adalah lebih baik di Post Brooke, dan hampir semua isi rumah yang ditemui memiliki telefon bimbit. Pemilikan motosikal adalah tinggi di kedua-dua post,  hampir semua responden memiliki motorsikal, manakala pemilikan motokar adalah masih rendah di kedua-dua post. 
      Jadual 3.4 : Pemilikan Kemudahan Asas Responden
Kemudahan Asas
Post Tohoi
Post Brooke
Bekalan air bersih
-
22
Bekalan elekterik
-
28
Pemilikan TV
-
22
Pemilikan radio
26
30
Pemilikan telefon bimbit
18
28
Pemilikan motosikal
27
29
Pemilikan motokar
---------------------------
1
---------------
5
-----------------
Isirumah yang ditemui di Post Tohoi mempunyai tahap literasi yang rendah, di mana hanya 5 isi rumah yang boleh membaca dan menulis dengan baik, manakala sebanyak 20 isirumah di Post Brooke. Pemilikan bahan bacaan seperti surat khabar atau bahan bacaan ringan berkaitan dengan tahap celik huruf anak-anak, bagaimanapun hanya 5 isirumah yang memilikinya di Post Tohoi. Kesemua isi rumah yang ditemui di Post Tohoi mempunyai bahan bacaan ringan di rumah. 
     Jadual 3.5 : Tahap Celik Huruf Responden
Tahap Celik Huruf
Post Tohoi
Post Brooke
Ibubapa tahu membaca / menulis
5
20
Memiliki bahan bacaan di rumah
-----------------------------

5
---------------

30
-----------------
Setiap ibubapa mempunyai cita-cita dan harapan kepada anak-anak. Kebanyakan ibubapa di Post Tohoi mempunyai cita-cita anak mereka untuk menjadi sebagai guru, jururawat dan pasukan unit berunoform. Manakala keadaan di Post Brooke yang berbeza dengan pendedahan sekeliling. Ramai yang bercita-cita anak mereka menjadi jurutera / doktor atau peguam.
Jadual 3.6 : Harapan dan Cita-cita dalam Pendidikan Anak-Anak
Harapan dan Cita-cita
Post Tohoi
Post Brooke
Menjadi guru
23
9
Menjadi jururawat
4
6
Menjadi polis / tentera / bomba
3
5
Menjadi jurutera / Doktor / Peguam
---------------------------

-
---------------

10
-----------------
4.0   PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN
Kajian ini menjelaskan beberapa perkara penting dalam memajukan pendidikan orang Asli. Antara dapatan kajian ialah ;
4.1 Orang Asli di kedua-dua post masih dibelenggu kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan. Sebanyak 93.3 peratus isi rumah di Post Tohoi memiliki pendapatan di bawah RM500, dengan 73.3 peratus adalah miskin tegar (Pendapatan di bawah RM250). Jumlah ini amat berkurangan di Post Brooke dengan hanya 30 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang RM 500 dan hanya 13 peratus miskin tegar. Kemiskinan di kalangan orang Asli perlu dikurangkan, khususnya kemiskinan tegar bagi mempastikan pendidikan di kalangan orang Asli dapat ditingkatkan.
4.2 Kemiskinan di Post Tohoi yang lebih tinggi berbanding Post Brooke adalah disebabkan persekitaran penempatan Post Brooke yang berhampiran dengan aktiviti ekonomi, perdagangan dan perniagaan. Kemiskinan dalam kalangan orang Asli dapat dikurangkan secara perlahan-lahan dengan mendedahkan mereka kepada persekitaran ekonomi dan perniagaan yang lebih baik. Projek pembangunan setempat berasaskan pertanian harus diperbanyakkan di perkampungan orang Asli bagi meningkatkan pendapatan mereka.
4.3 Kelas Dewasa Asli dan Peribumi (KEDAP) yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah diteruskan secara lebih meluas kepada para ibubapa orang Asli bagi membantu mereka memajukan pendidikan anak-anak mereka.
4.4 Bahan bacaan ringan khususnya berkait dengan Program KEDAP perlu digembelingkan dengan pusat pembacaan setempat. Perpustakaan Awam perlu dibuka di perkampungan orang Asli dengan menumpang di pusat sumber sekolah.
4.5 Kemudahan elektrik dan capaian saluran televisyen perlu disediakan kepada masyarakat orang Asli bagi membolehkan mereka membuka dan membangun minda mereka sejajar perkembangan pendidikan anak-anak.
4.6 Skim perjawatan bagi guru-guru, pegawai perkhidmatan kesihatan, polis, tentera, bomba dan sebagainya bagi orang Asli dan Peribumi hendaklah diwujudkan dengan syarat-syarat yang longgar yang memberi mereka lebih peluang.
6.0  PENUTUP
Kajian tinjauan ini berhasrat melihat kemiskinan dalam kalangan orang Asli suku Temiar di Post Tohoi dan Post Brooke. Kemiskinan dan pendidikan adalah suatu hubungan yang tidak dapat dinafikan. Untuk melepaskan diri daripada kemiskinan, perlulah berpendidikan dan untuk berpendidikan perlulah bebas dari kemiskinan. Kajian ini mendapati bahawa kemiskinan dalam kalangan orang Asli perlu diatasi melalui pendidikan.
7.0  RUJUKAN
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. 1996. Laporan kajian kes mengenai keciciran di sekolah menengah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2002. Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.
Marshall C. & Rossman. G.B. 1995. Designing Qualitative Research. Second Edition. California:Sage Publication.
Mohamad Shamsuddin Jamiran.  2008. Laporan keciciran di SK Pasir Linggi. Dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan IPGM Kampus Kota Bharu. Kota Bharu.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010, Teras 4 - Merapatkan jurang pendidikan, KPM, di Konvensyen Nasional PIPP. 2008. 24-27 November 2008, IAB Genting Highlands.
Siwar, Chamhuri. 2005. Pembasmian Kemiskinan: Satu Penilaian Kritikal Ke arah Pemantapan Perancangan, Pelaksanaan dan Penilaian. Dibentangkan dalam Bengkel Penyediaan Pendekatan Bersepadu Pembasmian Kemiskinan RMKe-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 28 Julai 2005.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan