Selasa, 21 Ogos 2012

PLBD Murid Orang Asli SK Kuala Betis, Gua Musang

Hj Muhammed Nata Mohammad
Hj Abd Razak Syafii
Pn Murni Deraman
IPG Kampus Kota Bharu
Kertas penyelidikan ini dibentangkan di Seminar Penyelidikan Pedagogi Peribumi, IPG Kampus Kota Bharu 2011
Keberkesanan Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Kuala Betis Gua Musang di Balai Bomba Gua Musang.
Murid Tekun Memerhati Ahli Bomba Menunjukkan Demonstrasi Memadam Kebakaran
PENGENALAN
Program Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak tahun 2000 supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan lebih berbentuk kontekstual. Ini adalah selaras dengan saranan UNESCO supaya mengamalkan “Four Pillars of Education: Learning to Know, Learning to Do, Learning to Live Together dan Learning to Be”. Untuk memastikan PLBD dilaksanakan dengan lebih berkesan, Pusat Pengembangan Kurikulum (PPK) telah mengeluarkan Garis Panduan PLBD (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005) bagi membantu guru menjalankan PLBD. Pengertian, objektif dan tiga model PLBD yang melibatkan kerja lapangan dan lawatan.
PENGERTIAN PLBD
Garis Panduan PLBD (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005) memberi pengertian PLBD ialah.. Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) adalah suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti ini berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah. Ia juga merangkumi persekitaran pembelajaran yang progresif.
OBJEKTIF PLBD
PLBD boleh digunakan untuk tujuan menyediakan murid untuk belajar sesuatu tajuk atau konsep yang akan dipelajari, mengukuhkan apa yang telah dipelajari, atau pun sebagai satu proses mempelajari sesuatu tajuk atau konsep. Objektif-objektif PLBD merangkumi tiga domain pembelajaran, iaitu domain pengetahuan, domain sikap dan domain kemahiran. Antaranya ialah:
· Mengukuhkan kefahaman murid terhadap konsep yang dipelajari dalam kelas;
· Memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang sebenar, bermakna dan menyenorokkan;
· Membolehkan murid berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan melalui pengalaman kontekstual;
· Meningkatkan minat dan sikap murid untuk belajar;
· Mengembangkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan;
· Mengembangkan kemahiran mengumpul, memproses dan menganalisis data dan maklumat.
· Menerapkan nilai-nilai murni.
MODEL PLBD Tiga model PLBD dicadangkan dalam dokumen Garis Panduan PLBD:
Model PLBD 1: Luar bilik darjah dalam kawasan sekolah.
Model PLBD 2: Berhampiran kawasan sekolah.
Model PLBD 3: Jauh dari kawasan sekolah (dengan kebenaran PPD)
(Lawatan terancang & berintergrasi ilmu)
PERANCANGAN PLBD
Perancangan PLBD melibatkan 3 masa penting iaitu sebelum PLBD, semasa PLBD dan selepas PLBD
PERANCANGAN PLBD Perancangan PLBD melibatkan perancangan oleh guru, murid dan ibubapa. Surat-menyurat amat penting memandangkan ia melibatkan murid dengan pihak atau agensi luar.

Proses Pengumpulan Data Melibatkan Para Murid dan Guru Menjawab Soal Selidik. Pengumpulan data dilakukan sebelum dan selepas PLBD.
Perancangan Sebelum PLBD
Menetapkan tujuan & objektif PLBD (hasil pembelajaran tajuk / konsep dalam sukatan, sikap dan kemahiran)
Ulangkaji pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang diperlukan untuk aktiviti PLBD
Memenuhi segala syarat dan kehendak rasmi seperti kebenaran bertulis daripada pihak sekolah, PPD dan ibu bapa
Memaklumkan kepada murid dan ibu bapa tentang tujuan dan program PLBD
Mendapatkan nombor telefon ibubapa murid supaya senang dihubungi sewaktu kecemasan
Membuat tempahan tempat dan pengangkutan
Memastikan bas mempunysi perlindungan takaful penumpang, permit perjalanan sah dan dua orang pemandu terlatih.
Memastikan takaful berkumpulan telah diambil untuk murid
Memastikan seorang guru pengiring ditugaskan untuk sekumpulan sepuluh orang murid
Membahagikan murid kepada lima orang dalam satu kumpulan dan melantik ketua bagi setiap kumpulan untuk menjaga kebajikan setiap ahli kumpulan di sepanjang lawatan
Melawat tempat PLBD dan merancang aktiviti
Memberi taklimat kepada murid tentang keselamatan, peraturan dan tanggung jawab masing-masing
Membahagikan tugas & tanggung jawab kepada murid
Menyediakan bahan-bahan yang diperlukan (termasuk alat-alat seperti kamera, perakam audio dll)
Mengetahui dan menyedari tujuan dan objektif lawatan
Menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk aktiviti lawatan
Melatih teknik-teknik mengumpul maklumat
Mengetahui dan memahami tanggung jawab diri dan kumpulan
Memahami peraturan dan aturcara lawatan
Menyediakan bahan yang diperlukan untuk aktiviti lawatan
Memahami keperluan-keperluan keselamatan
Perancangan Semasa PLBD
Menyelia dan mengawal murid supaya keselamatan murid sentiasa terjaga
Memberi bantuan bila diperlukan
Menggalakkan murid menanya soalan untuk mendapat maklumat
Membuat pemerhatian secara langsung
Mengumpul dan merekod maklumat
Mematuhi peraturan-peraturan lawatan
Berkerjasama dalam kumpulan
Perancangan Selepas PLBD
Memberi maklumat tambahan jika diperlukan oleh murid
Membimbing murid membuat rumusan
Menilai pembelajaran murid dan keberkesanan aktiviti PLBD (termasuk pengurusan & pengelolaan aktiviti).
Menyusun maklumat yang dikumpul
Menjawab soalan-soalan tugasan dan membuat rumusan
Menyemak dapatan dan rumusan dengan murid atau kumpulan lain
Menyediakan laporan
Menghantar / membentang hasil / laporan
Membincang isu-isu yang mengelirukan (jika ada) 


PLBD bagi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) adalah suatu keperluan bagi murid tahun 6.  Setiap murid tahun 6 adalah dikehendaki melaksanakan satu projek Kewarganegaraan. Projek Kewarganegaraan ialah komponen amali Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang memerlukan penglibatan murid secara kumpulan dalam aktiviti sekolah dan komuniti. Penglibatan ini ialah dalam bentuk projek atau kajian yang boleh membantu dan meningkatkan imej diri, sekolah dan masyarakat.
Melalui Projek Kewarganegaraan ini, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan yang dipelajari dalam bilik darjah. Murid juga dapat merasakan dirinya sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Dengan ini murid dapat membina martabat diri yang positif dan berbangga kerana telah memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat. Murid dikehendaki menjalankan projek kewarganegaraan di luar waktu persekolahan sekurang-kurangnya 10 jam setahun.
Matlamat Projek Kewarganegaraan ialah :-
(1) Mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik dan kewarganegaraan di luar bilik darjah.
(2) Memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
(3) Menjadi warganegara yang patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.


Bagi mengkaji keberkesanan projek kewarganegaraan melalui strategi PnP PLBD, satu kajian dilaksanakan ke atas 40 Murid Orang Asli SK Kuala Betis. PLBD yang ditetapkan ke atas mereka ialah PLBD ke Balai Bomba, Gua Musang. Kajian ini dilakukan bagi menilai keberkesanan perlaksanaan PLBD di kalangan murid Orang Asli sebagai satu kaedah untuk transformasi minat belajar, minat bersosial dan minat kerjaya di kalangan murid Orang Asli.
Persoalan Kajian
1) Adakah PLBD meningkatkan Intrapersonal di Kalangan Murid Orang Asli ?
2) Adakah PLBD meningkatkan Interpersonal di Kalangan Murid Orang Asli ?
3) Adakah PLBD meningkatkan minat kerjaya di Kalangan Murid Orang Asli ?
4) Adakah PLBD meningkatkan Kefahaman Kehidupan Berkomuniti di Kalangan Murid Orang Asli ?
5) Adakah PLBD meningkatkan Pembentukan Sahsiah Jati Diri di Kalangan Murid Orang Asli ?
Murid Tekun Mendengar Taklimat Pegawai Bomba Gua Musang
Mendengar Taklimat Keselamatan Pencegahan Kebakaran
Pegawai Bomba Memberi Penerangan Penggunaan Alat Bantu Pencegahan Kebakaran
Menyiram Air Ke Tempat Kebakaran Melibatkan Bahan Api akan Menyebabkan Api Lebih Mudah Merebak.
Dapatan kajian daripada Soal Selidik mendapati :-
1) Seramai 83% murid berjaya menjawab soalan-soalan dengan tepat tentang tugas-tugas seorang ahli Bomba dan bagaimana untuk menjadi seorang ahli Bomba.
2) Seramai 40% murid menyatakan minat untuk menjadi seorang ahli Bomba.
3) Guru menyatakan bahawa PLBD sepatutnya dilakukan di sekolah.
Manakala, dapatan pemerhatian menunjukkan,
1) Sebahagian besar murid Orang Asli masih pasif dan kurang berani ke hadapan dalam berinteraksi dan bersosial.
2) Guru kurang minat melaksanaka PLBD atas sebab kewangan, surat-menyurat dan keselamatan murid sewaktu di lapangan. 
3) Agensi luar yang menerima memberi kerjasama yang baik tetapi tidak memahami proses transformasi ilmu pendidikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan